HALAMAN SANTAI
Ahad, 25 Mei 2014
MB Selangor enggan jumpa selagi penduduk tidak dapat penerangan penuh projek Kidex
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan tidak akan mengadakan pertemuan dengan penduduk yang terjejas dengan pembinaan Lebuhraya Bertingkat Kinrara-Damansara (Kidex) selagi mereka tidak mendapat penjelasan penuh daripada agensi terlibat.
Khalid berkata, pertemuan dengan penduduk Kinrara, Damansara, Puchong dan Petaling Jaya hanya akan dilakukan selepas semua penduduk faham mengenai projek berkenaan.
Beliau berkata, ramai yang membuat kenyataan tetapi tidak memahami dan mendengar usaha Putrajaya serta Selangor untuk menyediakan kemudahan kepada pengguna.
"Soal dan dengar dulu (penerangan) baru menteri besar datang.
"Kalau tidak saya terpaksa buat penerangan dua tiga kali sebab mereka tak nak dengar," katanya pada sidang media di Universiti Putra Malaysia di Serdang hari ini.
Menurut Khalid, penduduk perlu belajar mendengar penjelasan penuh daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengenai jalur jalan kerana projek itu dibiayai dan diselenggarakan oleh Putrajaya.
"Mereka perlu dengar penjelasan LLM dulu. LLM dah buat banyak lebuh raya di Wilayah Persekutuan dan Selangor.
"Jadi dengar macam mana mereka buat kajian tersebut, kenapa dia buat jalan tersebut," katanya.
Katanya, mereka juga perlu mendengar pandangan daripada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) sama ada projek itu selari dengan rancangan pembangunan Selangor.
Beliau juga mencadangkan sesi penerangan dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengenai sistem kemudahan pengangkutan awam yang boleh diwujudkan bagi kemudahan penduduk sama ada Transit Aliran Sederhana (MRT), Sistem Aliran Ringan Transit (LRT) atau Aliran Bas Transit (BRT).
Kemudian, penerangan perlu dijalankan syarikat pemaju sebelum bersedia mengadakan pertemuan dengan penduduk di peringkat akhir.
"Berilah peluang kepada pegawai profesional dan jurutera yang berusaha merancang jalan penyelesaian supaya dapat keluar daripada masalah kesesakan jalan.
"Kalau jalan penyelesaian itu tak nak dengar macam mana nak faham," kata Khalid yang mengakui status penerangan projek Kidex kini dalam keadaan teruk.
Katanya, Selangor mengamalkan konsep keterbukaan, malangnya ramai yang membuat kenyataan tetapi tidak tahu menahu apa yang dilakukan.
"Selangor sangat terbuka (kepada pandangan) tetapi keterbukaan itu tidak bermakna anda tak perlu buka telinga, jadi anda kena dengarlah," katanya.
Beliau sehubungan itu memberi tempoh tiga bulan kepada agensi kerajaan yang terlibat untuk memberikan penerangan.
"(Hal) yang melambatkan itu ialah mesti akan ada orang protes.
"Tapi kalau kita nilai ada 20 orang sahaja yang tidak suka tetapi 2 juta orang suka, maka kita berilah (kemudahan) kepada 2 juta orang yang suka," katanya.
Pembinaan lebuh raya Kidex sebelum ini mendapat bantahan daripada penduduk terutamanya sekitar Petaling Jaya kerana bimbang projek sepanjang 14 kilometer dengan anggaran kos RM2.2 bilion itu akan memusnahkan alam sekitar selain menyebabkan harga hartanah merudum.
Malah beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) Selangor sendiri turut membantah dan tidak menganggapnya penyelesaian yang bijak kepada masalah lalu lintas
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan