HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Mei 2014

Selepas cadangkan JK Teknikal, Muhyiddin kata hudud masalah PAS dan DAP

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Setelah mencadangkan Jawatankuasa Teknikal untuk membincangkan isu pelaksanaan hudud, di Teluk Intan hari ini Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin (gambar) berkata, isu hudud sebenarnya adalah masalah antara PAS dan DAP yang mempunyai pandangan serta pendirian berbeza.

Beliau berkata kegagalan pakatan itu untuk menjelaskan isu pelaksanaan hukum hudud sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan membuktikan PAS dan DAP tidak tahu pendirian yang perlu diambil untuk menangani isu berkenaan.

"Yang menjadi masalah adalah di kalangan mereka kerana ada pertembungan pandangan dan perbezaan yang agak ketara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama masyarakat Orang Asli di Dewan Kampung Orang Asli Erong di Teluk Intan hari ini, lapor Bernama.

Beliau ditanya media berhubung tindakan pakatan pembangkang yang dilihat seolah-olah melarang calon dan pemimpin Pakatan itu membincangkan dan berhujah mengenai hudud kepada pengundi.

Muhyidin adalah pemimpin Umno yang mencadangkan agar satu jawatankuasa teknikal dibentuk bagi mengkaji pelaksanaan hudud di Kelantan.

Ia dicadangkan selepas mengunjungi Mursyidul Am PAS yang juga bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka, Kelantan.

Ekoran cadangan Umno itu, PAS memutuskan untuk menangguhkan keputusannya membawa usul peribadi ke Dewan Rakyat bagi meminta kebenaran membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.

Ia bertujuan memberikan ruang seluasnya kepada Jawatankuasa Teknikal antara dua kerajaan iaitu kerajaan negeri Kelantan dan persekutuan membincangkan hal itu. –

Tiada ulasan: