Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff  
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff


LANGKAWI - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bercadang menyiarkan secara langsung melalui media proses pengiraan undi pada mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata siaran langsung proses pengiraan undi itu tidak dapat dilakukan sekarang ini kerana ia boleh menimbulkan implikasi dari segi undang-undang.

Katanya bagaimanapun SPR membenarkan pihak media untuk merakamkan proses pengiraan undi itu dibuat.

"Pihak media terlibat perlu mendapat kebenaran daripada SPR sebelum membuat rakaman itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Maahad Tahfiz Annabawi Lilbanat di sini hari ini.

Beliau berkata SPR sentiasa telus dalam proses pengiraan undi kerana tidak mahu ia dipertikaikan kemudian.

Katanya, sebelum ini Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah meminta supaya siaran langsung itu dibuat tetapi pihaknya melihat dari segi kerahsiaan pengundian.

Mengenai PRK Parlimen Bukit Gelugor esok, Abdul Aziz mengingatkan pengundi-pengundi tidak mengambil mudah dan perlu menunaikan tanggungjawab masing-masing walaupun calon Barisan Nasional tidak bertanding.

Katanya, keputusan PRK itu dijangka diumumkan selewat-lewatnya pukul 9 malam esok.
Maahad Tahfiz itu mula beroperasi pada Mac lepas, dan kini mempunyai 20 orang pelajar yang kesemuanya perempuan yang diurus oleh keluarga Abdul Aziz. - Bernama