MALAYSIAKINI
Desakan MP Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin supaya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan,
melangkaui arahan ketua umum PKR agar pemimpin parti berhati-hati dalam
mengeluarkan kenyataan mengenai jawatan menteri besar Selangor, kata
pegawai penyelaras DUN Pelabuhan Klang, Faekah Husin.
Katanya, arahan Ketua
Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikeluarkan sebaik sahaja Shamsul
mendakwa wujudnya kesepakatan dalam Pakatan Rakyat untuk menggantikan
Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Klang, sebagai menteri besar Selangor.
Selain itu, kata Faekah, Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Samad juga
membuat kenyataan balas dengan berkata parti itu tidak pernah
menyerahkan kepada pemimpin lain dalam Pakatan bagi membuat keputusan
bagi pihak parti itu.
"Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh Shamsul Iskandar ini
secara dasarnya telah mencarik kesepakatan dalam Pakatan dan merosakkan
imej PKR di mata rakyat," kata Faekah dalam satu kenyataan
"Sewajarnya, beliau tahu batas dan kaedah yang harus digunakan sebagai
anggota biro politik parti, apatah lagi kenyataan secara terangan
bertujuan menyerang dan memburukkan imej rakan kepimpinan beliau dalam
biro politik sendiri, iaitu Tan Sri Abdul Khalid," tambahnya.
Jika
hujah Shamsul bahawa Khalid harus mengambil tanggungjawab moral untuk
melepaskan jawatan menteri besar, Faekah bertanya, bagaimana pula dengan
Dr Daroyah Alwi.
"Bukankah beliau juga kalah dalam pertandingan Ketua Cabang Kapar?
Adakah Dr Daroyah juga perlu melepaskan jawatan exco kerajaan negeri
Selangor hanya semata-mata kalah dalam pertandingan Ketua Cabang?
"Bagaimana pula halnya dengan ketua umum dan presiden PKR sendiri yang tidak mempunyai apa-apa jawatan di peringkat cabang?
"Wajarkah kredibiliti mereka untuk memimpin parti dan menjawat jawatan
sebagai ketua pembangkang dipertikaikan hanya semata-mata tidak
berjawatan di cabang?" soalnya lagi.
Sehubungan itu, Faekah berkata Shamsul perlu bersikap objektif dan
"sebagai peguam, beliau sepatutnya telah sedia maklum tentang legitimasi
yang diperlukan untuk menjawat jawatan menteri besar".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan