HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Julai 2014

Isu Gelandangan: KWP jumpa 12 NGO 8 Julai

MALAYSIAKINI


Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan mengadakan perbincangan Selasa ini dengan 12 NGO yang telah dikenalpasti aktif memberi makanan kepada golongan gelandangan.

Perbincangan akan diadakan dengan ketua setiausaha kementerian berkenaan bagi bagi menetapkan lokasi yang bersesuaian supaya pengagihan makanan dan bantuan-bantuan lain dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pembangunan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya pada masa ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenalpasti NGO berkenaan mengagihkan makanan kepada golongan itu mengikut hari dan waktu serta lokasi popular seperti Pasar Seni; Dataran Kota Raya; Stesen Bas Klang, Masjid India; Masjid Negara; Bangkok Bank, Jalan Tun HS Lee; Kota Raya; Pudu Sentral; dan Swiss Garden Hotel, Jalan Pudu.

"KWP bersama dengan DBKL akan mengenalpasti pusat pengagihan makanan yang sesuai supaya NGO terbabit dapat meneruskan aktiviti sukarelawan serta menderma makanan kepada golongan tersebut.

"Usaha ini juga mampu mengurangkan masalah kekotoran yang akan timbul akibat pembuangan sampah oleh golongan berkenaan. Pemilihan lokasi ini juga akan mengambil kira daripada aspek kesampaian yang mudah kepada golongan gelandangan ini.

"KWP bersama DBKL akan mengenalpasti lokasi yang sesuai bagi penempatan golongan ini iaitu dengan menyediakan bangunan seperti konsep “Anjung Singgah” yang akan menyediakan beberapa kemudahan untuk golongan gelandangan seperti:

- Menyediakan makanan yang berkhasiat secara percuma dan pihak NGO juga dialu-alukan untuk menyumbang makanan di pusat pengumpulan golongan tersebut;

- Menyediakan tempat rehat dan tidur bagi memberikan keselesaan dan keselamatan kepada golongan ini;

- Menyediakan pusat rawatan kesihatan bagi memastikan tiada masalah penyakit berjangkit akan tersebar oleh golongan ini;

- Menyediakan pusat pendaftaran bersepadu yang akan merekod perihal golongan ini dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk maklumat diri, waris dan sebagainya;

- Menyediakan kemudahan riadah, mendobi pakaian dan sebagainya untuk kesihatan dan kekemasan diri; dan

- Menyediakan perkhidmatan kaunseling dan membantu mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian.

"Justeru, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya bahawa kerajaan bertindak zalim dan tidak berperikemanusiaan.

"Sebaliknya tindakan tersebut adalah bagi membantu golongan gelandangan dan pengemis ini dengan kehidupan yang lebih baik dan sempurna melalui perkhidmatan yang disediakan di ‘Anjung Singgah’," katanya.

Usaha-usaha yang dilaksanakan itu juga, tambahnya, adalah bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan warga kota sentiasa terpelihara serta aktiviti-aktiviti sindiket mengemis dapat dibanteras.

"Saya menghargai segala usaha murni yang dilaksanakan oleh NGO-NGO yang terlibat," katanya sambil menambah perkara itu akan dibincangkan dalam pertemuan antara ketua setiausaha KWP dengan NGO terbabit 8 Julai ini.

Tiada ulasan: