HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Julai 2014

'Kerajaan tak berhak tentu tempat kami bersedekah'

MALAYSIAKINI



 
 
 
Kerajaan atau pihak berkuasa tempatan tidak berhak menentukan tempat kepada kumpulan pemberi makanan percuma untuk golongan miskin di ibu kota, kata kolektif Dapur Jalanan.

Kumpulan dapur umum itu berkata, ini kerana mereka selama ini berkongsi makanan dengan golongan miskin dan gelandangan tanpa sebarang bantuan kementerian atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Dapur Jalanan Kuala Lumpur juga berpendirian bahawa menteri wilayah dan kesejahteraan bandar dan DBKL tidak berhak menetapkan jarak atau kawasan manakah yang dibenarkan
bagi mana-mana organisasi untuk memberikan makanan percuma kerana aktiviti kami tidak menggunakan dana dari kementerian mahupun DBKL.

“Maka kami berhak untuk menentukan tempat untuk kami menjalankan aktiviti kami,” kata kumpulan itu dalam kenyataannya sebentar tadi.

Walaupun mendapat kritikan aktivis dan pembangkang, kerajaan hari ini berkeras akan membersihkan kegiatan pengemis dan gelandangan di ibu negara.

Selain mengeluarkan kumpulan itu dan menyaman pemberi wang kepada peminta sedekah, kerajaan juga menetapkan jarak minimum untuk kumpulan dapur umum sejauh 2 kilometer dari pusat bandar.

'Turun sendiri, Ku Nan'

Jika gagal berbuat demikian, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Mansor, kumpulan itu juga akan disaman.

Dapur Jalanan dalam kenyataannya juga berkata, Tengku Adnan patut turun sendiri melihat keadaan sebenar golongan miskin kota dan warga tak berumah.

Berhubung pemberian makanan percuma pula, mereka berkata senantiasa memastikan tahap kebersihan yang tinggi sewaktu dan selepas aktiviti mereka.

“Pada hari Sabtu ini Tengku Adnan boleh melihat sendiri dan menilai tahap kebersihan aktiviti kami serta yang lebih penting menilai sama ada aktiviti berkongsi makanan dengan golongan miskin kota dan warga tak berumah benar- benar menjejaskan imej banda raya Kuala Lumpur,” kata Dapur Jalanan.

Dapur Jalanan antara kumpulan dapur umum aktif di ibu kota.

Sempena Ramadan ini, mereka akan mengedarkan makanan pada percuma pada jam 10 malam setiap hari Sabtu.
 
 

Tiada ulasan: