Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia harus menyatakan
sokongan mereka kepada umat Islam di Xinjiang, China, yang dilarang
kerajaan wilayah itu daripada menunaikan ibadah berpuasa di bulan
Ramadan.
Sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap hak umat
Islam di sana untuk menjalankan kewajipan agama mereka, Ahli Parlimen
Serdang Ong Kian Ming mengajak seluruh rakyat Malaysia bukan-Muslim
berpuasa selama sehari.
“Saya secara khusus ingin menyeru rakyat bukan Islam di
Malaysia untuk bangun menyokong kebebasan beragama bagi semua kumpulan
minoriti di seluruh dunia, dengan berpuasa sehari pada bulan mulia ini
bersama-sama rakan Muslim kita,” katanya.
Kian Ming dalam kenyataannya hari ini mengecam penindasan
dilakukan kerajaan China yang mengeluarkan arahan melarang penjawat
awam, guru dan pelajar daripada menjalankan kewajipan itu.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan menindas itu.
Larangan itu bermakna memaksa umat Islam di sana untuk tidak mematuhi
salah satu daripada rukun Islam.
“Ini bertentangan dengan prinsip kebebasan beragama, iaitu
kebebasan untuk seseorang menjalankan amalan agama yang dianutinya,”
tegasnya.
Larangan tersebut mula dikuatkuasakan sejak beberapa tahun
lalu dan sudah mula dimuat naik oleh beberapa jabatan kerajaan daerah
sejak minggu lalu.
Stesen milik kerajaan Bozhou Radio and TV University dalam
lamannya menyatakan, larangan itu dikenakan kepada semua anggota parti,
guru dan golongan muda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan