KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR: Program Adun Muda Selangor yang memberi peluang kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk mendalami bidang politik akan dianjurkan buat kali kedua pada penggal ini oleh Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS).
Timbalan Speaker, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, program yang turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam itu akan dijalankan dua kali iaitu pada Ogos dan Disember tahun ini.
Katanya, penganjuran sesi pertama untuk program berkenaan akan bermula pada 25 hingga 27 Ogos depan.
“Mereka akan diberi peluang untuk mengalami prosiding sebenar sebagai Adun dalam sidang Dewan Negeri dan mencadangkan serta membahaskan usul-usul khususnya yang memberi impak kepada golongan muda.
“Persidangan itu nanti akan dipengerusikan oleh Hannah Yeoh dan saya sendiri selaku Speaker dan Timbalan Speaker,” katanya pada sidang media di pejabat Speaker, di Dewan Annex, Shah Alam, hari ini.
Menurut Nik Nazmi, melalui program ini, mahasiswa dan mahasiswi digalakkan untuk meningkatkan pemikiran kritis berhubung polisi kerajaan selain berpeluang mengenali Adun Selangor dengan lebih dekat dan memahami peranan mereka.
Program ini terbuka kepada para pelajar dalam lingkungan umur antara 18 hingga 24 tahun daripada IPT awam dan swasta (IPTA/IPTS), badan bukan kerajaan (NGO), penggerak belia tempatan (PeBT) serta persatuan mahasiswa.
Katanya, seramai 56 orang anak muda akan dipilih untuk menyertai program ini dan mewakili setiap kawasan DUN dalam DNS.
“Tempoh permohonan akan dibuka selama tiga minggu mulai 22 Julai hingga 11 Ogos 2014 dan dilakukan secara dalam talian di laman web www.adunmudaselangor.com sebelum 12 Ogos.
“Panel pemilihan akan terdiri daripada Hannah Yeoh, saya dan Dr Ahmad Yunus Hairi, manakala keputusan pemilihan akan diumumkan di laman web rasmi program ini pada 15 Ogos 2014,” kata Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia.
Program Adun Muda Selangor 2013 berjaya diperkenalkan buat kali pertama di Selangor pada tahun lepas dengan penyertaan daripada 30 peserta dari seluruh negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan