Roketkini.com
PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung
Tunku, Lau Weng San mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang
melakuian perbuatan khianat merosakkan batu nisan di tanah perkuburan
Kristian di Kampung Tunku.
Menurut Lau, bukan sahaja 21 buah batu nisan dirosakkan,
tetapi sebuah surau yang berseberangan dengan kawasan perkuburan
Kristian telah dirosakkan termasuk pintunya dikopak dipercayai
dicerobohi.
“Saya dimaklumkan oleh Ahli Majlis MBPJ (Majlis Perbandaran
Petaling Jaya) Jeyaseelen T Anthony tentang kejadian tersebut pada hari
Rabu. Lawatan kami keesokannya ke tanah perkuburan Kristian mendapati
sebanyak 21 batu nisan dirosakkan terutamanya bahagian salib yang
dipatahkan.
“Manakala pintu kayu surau yang berada di seberang jalan
dari tanah perkuburan Kristian itu telah dipecahkan dan sebahagian
barangan dalam surau tersebut telah dicuri,” kata Lau ketika dihubungi
Roketkini.
Menurut Lau surau tersebut berada dalam kawasan tanah
perkuburan Islam Kampung Tunku, bersebelahan dengan tanah perkuburan
Kristian yang keduanya dipisahkan oleh sebuah jalan kecil.
Justeru, satu laporan polis dibuat Lau berhubung kejadian
tersebut dan menggesa pihak berkuasa lebih kerap melakukan rondaan bagi
mengelakkan perbuatan khianat , dibimbangi boleh mencetuskan provokasi.
“Saya harap semua pihak bertenang dan memberi keyakinan
pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan mereka. Apa yang wajar kita
lakukan ialah berdoa agar roh mereka yang telah mati itu bersemadi
dengan aman,” katanya.
Dalam pada itu, kata Lau pihaknya kini berusaha menghubungi
waris keluarga pemilik batu nisan tersebut dan pihak bertanggungjawab
yang menjaga tanah perkuburan Islam untuk berbincang bagi meningkatkan
aspek keselamatan dan rondaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan