Pemain drum kumpulan Search, Yazid Ahmad yang terkenal dengan aksi
lincahnya ketika berada di pentas kelihatan semakin uzur dan tidak
bermaya ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama Clixster Mobile
yang diadakan di Sri Hartamas dekat sini, malam Selasa lalu.
Ditemani oleh dua anaknya, Yazid yang kelihatan susut tetap mengagahkan
diri untuk memeriahkan majlis berkenaan biarpun hadir dengan menggunakan
tongkat malah sempat mengadu mengalami kesakitan pada bahagian belakang
badannya yang membuatkan dia berasa tidak selesa.
"Sekarang ini kalau saya bercakap sedikit mesti cepat penat dan akan
batuk tanpa henti," luahnya ketika diiringi ke ruang pejabat Clixster
Mobile untuk ditemuramah bersama media.
Jelas kelihatan pada riak wajahnya yang menanggung kesakitan akibat
penyakit kegagalan buah pinggang sejak enam tahun lalu, namun dia yang
berusia 52 tahun itu tetap melayan setiap soalan wartawan dengan baik
biarpun suaranya tersekat-sekat.
Sesekali Yazid kelihatan sebak dan menitiskan air mata apabila
mengenangkan nasib yang menimpanya namun terharu dengan sokongan
daripada pelbagai pihak terutama keluarga, teman baik dan peminat di
seluruh negara.
"Alhamdulillah, syukur apabila masih ramai yang bermurah hati dan tampil
membantu mengurangkan beban dan tidak kurang juga sentiasa memberikan
kata-kata semangat dan sebagainya.
"Sampai satu peringkat saya tidak mahu menyusahkan mereka dan saya
menjadi seorang yang suka mengasingkan diri daripada orang lain,"
katanya.
Jelas Yazid, dia lebih suka menyendiri kerana tidak mahu orang lain
melihat penderitaan yang sedang ditanggungnya dan apabila bersendirian
ia memberikannya ketenangan.
Jelas Yazid lagi, setiap bulan dia memerlukan sekurang-kurangnya RM2,800
untuk menampung kos melakukan rawatan hemodialisis yang perlu dilakukan
empat kali sehari selama empat jam pada setiap sesi di rumah.
"Setakat ini Alhamdulillah duit simpanan dan bantuan daripada keluarga
dan rakan-rakan membolehkan saya membayar kos rawatan tersebut tetapi
saya tidak boleh selamanya menyusahkan mereka.
"Jika kesihatan mengizinkan saya ingin meneruskan projek Drum Clinic
Tour bagi mengajar pelajar sekolah bermain drum dengan betul dan hasil
daripada program tersebut dapatlah saya buat belanja perubatan,"
katanya.
Sementara itu, Yazid menganggap penderitaan penyakit buah pinggang yang
dihidapinya itu sebagai satu bentuk penyucian dosa yang pernah
dilakukannya sebelum ini.
Yazid, berkata, biarpun terpaksa menanggung kesakitan setiap hari namun
dia reda dan tetap bersemangat meneruskan kehidupannya bagi melawan
penyakit yang dihidapinya itu.
"Dulu saya tertanya-tanya juga kenapa saya perlu menanggung penderitaan
ini tetapi saya sedar ini adalah ujian dan sentiasa minta dikuatkan iman
untuk meneruskan kehidupan dan melawan penyakit ini.
"Ia bukan mudah tetapi setiap apa yang berlaku itu pasti ada hikmah
disebaliknya dan saya perlu tabah mengharungi penyakit ini," katanya.
Dalam pada itu, Yazid berkata, kesihatannya setakat ini memuaskan namun
adakalanya keadaannya itu menjadi tidak konsisten kesan daripada
kerosakan buah pinggang yang dialaminya.
"Kadang-kadang okey tetapi ada masanya saya kena sembelit, gatal seluruh
badan, sesak nafas dan batuk berterusan hingga menyebabkan saya menjadi
tidak selesa," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan