HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Julai 2014

Zahid: Hormati keputusan ganti Akta Hasutan

MALAYSIAKINI


 


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata keputusan perdana menteri untuk memperkenalkan Akta Keharmonian bagi menggantikan Akta Hasutan perlu dihormati.

Katanya, beliau sendiri mematuhi keputusan Datuk Seri Najib Razak, dan meminta para pemimpin politik agar tidak mempersoalkan keputusan berkenaan.

"Saya mematuhi keputusan kepimpinan... Tapi bila ada perbezaan pendapat, terutama pendapat politik, pada hemat saya, orang politik harus tahu, ada perkara positif yang harus dijadikan garis panduan, agar tidak disentuh.

"Ini tentunya bersandarkan kepada perkara yang disebut dalam perlembagaan yang harus dihormati," katanya yang berharap hasrat kerajaan untuk mewujudkan keharmonian itu tidak disalah anggap.

Beliau mengulas kenyataan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bimbang berlaku huru-hara sekiranya Akta Hasutan dihapuskan dan digantikan dengan Rang Undang-Undang Perpaduan dan Rang Undang-undang Harmoni.

Jelasnya lagi, beliau percaya peruntukan dalam akta baru untuk menggantikan Akta Hasutan mampu memelihara keharmonian antara kaum, agama dan budaya.

Nama tidak penting

Katanya, kerajaan memastikan bahawa peruntukan untuk menjaga keharmonian dalam isu sensitif seperti itu dikekalkan, walau dalam bentuk undang-undang baru dikenali dengan nama Akta Keharmonian.

"Saya fikir nama tidak penting, tetapi isi Akta Keharmonian itu penting.

"Apa yang kita bincangkan adalah supaya mewujudkan elemen untuk menjaga perkara yang sensitif seperti melibatkan agama, kaum dan budaya.

"Tiga elemen dan tonggak itu harus ada dalam Akta Keharmonian.

"Saya tidak fikir apabila Akta Hasutan itu digantikan, elemen lama ditiadakan untuk menjaga tiga perkara ini," katanya dalam sidang medianya malam ini.

Kenyataannya itu bagi menjawab kebimbangan yang disuarakan dari kelompok Umno dan juga NGO pro-Melayu bahawa kuasa politik golongan tersebut akan terhakis melalui pindaan ke atas Akta Hasutan.

Malah, golongan itu juga menimbulkan ancaman untuk keluar dari Umno sekiranya kerajaan terus menurut saranan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) seperti itu.

Kebimbangan itu timbul susulan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Tahanan Terhad, serta pindaan ke atas Akta Perhimpunan Aman.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung banyak pihak yang membantah Akta Hasutan dihapuskan dalam sidang media sempena majlis berbuka puasa anjuran Kementerian Dalam Negeri di IPK Selangor di Shah Alam.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Tiada ulasan: