HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 Februari 2015

'Gadis dipengaruhi sebelum masuk tahfiz'

MALAYSIAKINI


 


Bukit Aman percaya gadis berusia 14 tahun yang cuba menyertai kumpulan militan IS di Syria, telah terpengaruh dengan ideologi kumpulan itu sebelum memasuki sekolah tahfiz lagi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman SAC Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata ini berdasarkan hasil siasatan awal terhadap gadis itu.

Bagaimanapun, siasatan tetap diteruskan untuk melihat sama ada terdapat pembabitan sekolah tahfiz berkenaan dalam penyebaran ideologi IS, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

"Kita telah kenal pasti sekolah tahfiz itu dan setakat ini kita tengah siasat ... bagaimanapun saya yakin gadis ini sebelum memasuki tahfiz itu, dia telah terdedah dengan pengaruh IS melalui Internet.

"Kita juga akan siasat guru-guru di sekolah tahfiz berkenaan termasuk latar belakang mereka," katanya.

Rabu lepas, gadis itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ketika cuba pergi ke Syria melalui Mesir.

Gadis yang berasal dari Muar itu merupakan pelajar pengajian agama di sebuah institut tahfiz di Shah Alam. - Bernama

Tiada ulasan: