HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 Februari 2015

Membazir saja tangkap saya, kata aktivis

MALAYSIAKINI


 


Dua hari di lokap semata-mata kerana komen di Facebook berkaitan kes Liwat II, aktivis Lawrence Jeyaraj hari ini dibebaskan.

Beliau dibebaskan tengah hari tadi atas jaminan polis selepas direman di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, kata peguamnya Michelle Yesudas.

Mengulas penahanannya, Lawrence berkata kerajaan hanya membazirkan sumber negara dengan tindakan itu.

“Saya gembira keluar tetapi mereka tahan saya hanya kerana tulisan Facebook

“Mereka bazirkan banyak masa, usaha dan wang untuk menyiasat perkara bodoh sedangkan ia boleh digunakan untuk menyiasat penjenayah lebih besar,” katanya.

Lawrence semalam menjadi orang kedua direman kerana dakwaan hasutan terhubung komen mengenai penghakiman kes Liwat 11 terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguamnya berkata Lawrence,ahli Kumpulan Kartunis Independen (KKI), ditahan reman bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan.

Kartunis Zunar, penggerak KKI, sebelum ini direman pada Hari Kekasih 14 Februari selama tiga hari dan Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan pula ditangkap sehari pada 19 Februari berhubung isu sama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar turut mengarahkan siasatan ke atas Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dan Pengerusi DAP Perak Datuk Nga Kor Ming berhubung tweet berasingan mengenai penghakiman 10 Februari.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya terhadap sabitan tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Tiada ulasan: