DALAM perbahasan tampalan (post)
yang lalu, pembahas RAWA LANUN-BAHASA, mengulas (dalam bahasa Inggeris)
berbunyi: “1MDB is not a big issue for UMNO; rather it is FGV. But you might
not think so now. Think about it.”
[1MDB bukan isu besar bagi UMNO;
sebaliknya isu besar ialah FGV. Tetapi anda mungkin tidak berfikir begitu
sekarang. Cuba fikirkan.]
Saya setuju. Isu Felda Globval
Ventures Berhad (FGV) umpama retak menunggu pecah. Setidak-tidaknya pun dalam jangka masa pendek dan sederhana.
Sama seperti 1Malaysia
Development Berhad, FGV adalah gagasan Perdana Menteri (Datuk Seri) Mohd Najib
Abdul Razak. Kalau dalam 1MDB Mohd Najib adalah
pengerusi lembaga penasihatnya, dalam Felda beliau adalah mentornya. Beliaulah yang
memutuskan penubuhan FGV bagi mengambil alih bahagian perdagangan Felda.
FGV adalah gagasan Mohd Najib |
Apa yang RAWA LANUN-BAHASA kata itu tepat. Sejak tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian sahamnya di Bursa Malaysia pada akhir Jun 2012, FGV telah bertukar menjadi satu lagi masalah rumit bagi Perdana Menteri dan orang kepercayaannya (Tan Sri) Mohd Isa Abdul Samad.
Bekas Menteri Besar Negeri
Sembilan yang amat berpengaruh ke atas Mohd Najib itu adalah pengerusi Felda
dan FGV.
Mohd Isa amat berpengaruh ke atas Mohd Najib |
Fantasi Bertukat Jadi Cerita Ngeri
Daripada cerita fantasi
dewa-dewi pada hari penyenaraiannya di Bursa Malaysia pada 28 Jun, 2012 FGV
telah bertukar menjadi episod ngeri.
Setelah melonjak naik daripada
harga IPO RM4.55 kepada RM5.39 pada hari pertama diniagakan, harga saham FGV
jatuh secara berterusan untuk ditutup pada kadar RM2.82 sebelum cuti Tahun Baru
Cina minggu lepas.
Ini
bermakna nilai sahamnya
telah merosot 38% berbanding harga tawaran awal. Dalam perdagangan
52-minggu berakhir minggu lalu, saham FGV diniagakan antara RM2.02 dan
RM4.70.
Dalam bahasa mudah, para pelabur
yang membeli saham FGV ketika IPO, termasuk puluhan ribu peneroka Felda, telah
mengalami kerugian atas kertas sebanyak RM1,730 bagi setiap 1,000 unit saham
FGV yang mereka beli.
Yang meminjam untuk membeli
saham itu tentulah lebih teruk. Mereka mungkin telah dipaksa menjual saham
mereka oleh pemberi pinjaman atau terpaksa menambah cagaran.
Suka atau tidak kita terpaksa
mengakui bahawa prospek jangka pendek dan sederhana FGV tidak begitu cerah.
Bukan sahaja ia mengalami masalah kejatuhan harga minyak kelapa sawit dan getah
malah kegiatan pengilangannya juga turut terjejas akibat kelembapan ekonomi dunia
dan kejatuhan kadar tukaran ringgit.
Ia
mencatatkan kerugian sebanyak RM12 juta bagi suku tahun antara Julai
dan September tahun lalu. Pada bulan November lalu, CIMB menurunkan
perakuan saham FGV daripada pegang (hold) kepada kurangkan (reduce).
Ertinya
kurangkan pegangan saham FGV.
Tambah memburukkan lagi keadaan bagi
FGV ialah kelembapan luar biasa pasaran saham tempatan. Bursa Malaysia adalah
antara pasaran saham sedang membangun (emerging markets) paling buruk pencapaiannya
tahun lalu.
Misalnya, bagi tempoh antara 31
Disember 2013 dan 29 Disember 2014, pasaran saham India naik 29.4% (dalam dolar
Amerika), Indonesia naik 21.2% dan Thailand naik 15.4% tetapi Bursa Malaysia jatuh
5.3%.
Lambat laun Mohd Najib sebagai
Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan mentor Felda terpaksa menangani dan
menjawab isu berkaitan kejatuhan saham FGV dan kemerosotan perniagaannya serta
kesannya ke atas masyarakat peneroka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan