AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
Keadaan jerebu di sekitar Johor Baru, pada jam 5 petang tadi. - Foto ihsan Facebook Mark Loo
KUALA LUMPUR, Saingan merebut kejuaraan TM Piala Malaysia 2015 antara Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Kedah yang sepatutnya berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, esok, terpaksa dibatalkan akibat jerebu.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah mengesahkan perlawanan
itu terpaksa dibatalkan, ekoran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di
Johor Baru bertambah buruk, sejak pagi tadi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa
Pertandingan Tempatan FAM berkata, pembatalan itu telah dimaklumkan
kepada kedua-dua pasukan, pada pagi tadi.
“Saya dimaklumkan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ditutup akibat jerebu.
“Dalam pada itu, saya juga menerima
pengesahan daripada pasukan Kedah bahawa mereka hendak berlepas ke Johor
dari Pulau Pinang, petang tadi, tetapi tidak dapat berbuat demikian,
kerana penerbangan mereka dibatalkan,” katanya kepada The Rakyat Post.
Jelasnya, pihak FAM sedang meneliti jadual perlawanan, bagi memilih tarikh baru untuk perlawanan itu.
Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) turut mengesahkan hal tersebut.
“Perlawanan JDT dan Kedah yang
dijadualkan esok, di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang terpaksa
dibatalkan, kerana cuaca berjerebu di paras bahaya di Johor Baru dan
Pasir Gudang (bacaan IPU melebihi 150).
“Pembatalan ini disahkan oleh
Jawatankuasa Pertandingan FAM sebentar tadi. Tarikh baru perlawanan akan
ditetapkan dalam masa terdekat,” demikian kenyataan yang dimuat naik ke
laman Facebook KFA.
Menurut portal Jabatan Alam Sekitar,
setakat jam 5 petang tadi, bacaan IPU di Pasir Gudang ialah 175, Larkin
Lama (162) dan Kota Tinggi (121).
IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51
hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300
(sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan