KUALA LUMPUR – Kejatuhan ringgit ketika ini dilihat sebagai peluang terbaik kepada pelabur luar untuk membawa masuk produk mereka menembusi pasaran Malaysia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainudin berkata, senario tersebut seterusnya akan menurunkan kos perniagaan dan sekali gus memberi pulangan yang positif kepada pelabur.
Ujarnya, KPDNKK juga akan membantu pelabur asing khususnya usahawan francais luar negara bagi urusan yang berkaitan dengan pendaftaran perniagaan di negara ini.
“Saya yakin Malaysia berpotensi untuk muncul sebagai hab francais bagi rantau Asia Tenggara, sekaligus menjadi platform untuk mencapai tahap sebagai negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau sebelum itu mengetuai delegasi Malaysia dalam sesi pemadanan perniagaan bersama penggiat francais di London.
Yang turut hadir Pengerusi Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas AlHabshee; Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad, wakil-wakil agensi di bawah KPDNKK, wakil daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) dan Maybank manakala wakil United Kingdom pula diwakili oleh lima jenama francais dan enam persatuan industri francais.
Sementara itu Syed Ali berkata, sesi pemadanan perniagaan tersebut bukan sahaja menyediakan peluang yang baik untuk pertumbuhan industri francais Malaysia malah dapat mengukuhkan hubungan industri dengan syarikat-syarikat francais yang terkenal di United Kingdom.
Katanya, PNS dengan kerjasama kementerian dan penggiat industri francais yang lain akan terus berusaha memperkenalkan jenama francais tempatan ke pentas global menerusi penyertaan dalam misi perdagangan luar negara, selain melaksanakan lebih banyak inisiatif berbentuk pertukaran ilmu.
“Dalam masa yang sama, PNS juga akan mengenal pasti perniagaan tempatan yang telah bertapak di Eropah untuk dijadikan perniagaan francais seterusnya di bawa ke Malaysia,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan