PETALING JAYA, Kes bunuh diri di negara ini masih di tahap terkawal namun kesedaran awal menangani hal ini mampu menyelamatkan nyawa ke paras seratus peratus. 

Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata promosi kesihatan mental di negara ini wajar dibawa ke peringkat lebih tinggi. 

“Bagi menangani isu bunuh diri di kalangan rakyat di negara ini yang mencatatkan 1.3 kematian setiap 100,000 orang, pendekatan awal menangani isu ini mampu menjadikannya ke paras kosong,” katanya dalam forum pencegahan bunuh diri anjuran Befrienders Kuala Lumpur hari ini. 

Jelasnya, rekod itu dicatatkan oleh Malaysian National Suicide Registry pada tahun 2012. 

Tambah Lee, Kementerian Kesihatan Malaysia perlu meningkatkan keutamaan kepada segala aspek dalam menangani isu ini walaupun kadar kes bunuh diri di negara ini jauh lebih rendah berbanding Korea, Jepun dan Hong Kong. 

“Walaupun promosi kesihatan mental sudah lama diberi penekanan oleh kementerian terlibat, namun usaha ke arah sifar kes bunuh diri perlu dipertingkatkan sebelum Malaysia menuju sebuah negara maju pada tahun 2020,” katanya. 

Lee menyarankan agar kerajaan menambah aktiviti mempromosikan kesihatan mental melalui peruntukan sumber yang sesuai dan munasabah ke arah Malaysia yang lebih baik. 

Katanya, 12 peratus rakyat Malaysia berumur 18 hingga 60 tahun menghadapi kesihatan mental merujuk tinjauan National Health and Morbidity pada tahun 2011. 

Menurut statistik yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2012 mencatatkan sebanyak 800,000 orang membunuh diri setiap 40 saat.