NORAIZURA AHMAD
Noh berkata, menafikan penglibatan ahli Umno dalam himpunan yang bakal diadakan pada 18 Oktober ini. - Foto TRP/ Azrol Ali
SHAH ALAM, Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar menjelaskan, Umno tiada kaitan dengan himpunan ‘Selamatkan Negeri Selangor Daripada Kerajaan Pakatan Cacar Marba’ yang bakal diadakan 18 Oktober ini.
Menurutnya, himpunan tersebut diadakan atas nama badan bukan kerajaan (NGO) dan bukan melalui parti.
“Saya sendiri tahu mengenai himpunan itu melalui kenyataan daripada media.
“Ini tiada kaitan dengan Umno
dan jika ada, pasti dia (Datuk Jamal Md Yunos) sudah berjumpa dengan
saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Shah Alam, hari ini.
Selasa lalu, Pengerusi Gabungan
NGO Melayu, Jamal bersama beberapa NGO lain mengumumkan bakal
mengadakan himpunan di Spectrum, Bandar Baru Ampang.
Jamal berkata, himpunan itu
sebagai tanda protes terhadap Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan
Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang didakwa menzalimi rakyat negeri
itu, dari sudut kesihatan dan air.
Jamal
yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar bertegas akan meneruskan
himpunan itu, walaupun polis menasihatkan ia dibatalkan.
Himpunan yang sepatutnya
diadakan Ahad ini terpaksa ditunda seminggu daripada tarikh asal,
sebagai mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.
Noh menafikan penglibatan ahli Umno dalam
himpunan itu, namun tiada masalah, sekiranya ada di antara mereka yang
menyertai perhimpunan berkenaan terdiri daripada ahli NGO.
“Ada ahli Umno yang terlibat dalam NGO, seperti Belia 4B dan sebagainya. Jika mereka turut serta, itu bukan masalah,” katanya.
Ketika ditanya jika beliau menyokong tindakan Jamal, Ahli Parlimen Tanjong Karang itu menegaskan, mereka mengamalkan demokrasi.
“Jika Jamal salah dan tidak mengikut undang-undang, tindakan harus dikenakan. Masing-masing ada hak sendiri,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan