Oleh Willie Ong
Tujuan rencana ini adalah untuk menghantar mesej kepada orang-orang Melayu yang orang Cina bukannya musuh Melayu tetapi rakyat Malaysia yang cintakan tanah air ini dan berhasrat membina negara kita dengan aman, makmur dan harmoni.
Penyakit “takut Cina”, ataupun “Cina-fobia” tidak boleh dinafikan memang wujud dalam masyarakat kita, khususnya kaum Melayu. Penyakit “takut Cina” ini bukannya sejenis penyakit yang boleh dirawat dengan ubat sedia ada semata-mata, malah fobia ini pun menembusi pemikiran orang Melayu secara berterusan dan turun-temurun.
Perlu dijelaskan, rencana ini memberi fokus kepada hubungan antara orang Melayu dan warga Tionghua. Ini disebabkan tali persaudaraan antara dua kaum utama semakin merosot saban hari. Lebih-lebih lagi, permainan isu perkauman oleh sesetengah ahli-ahli politik tidak bertanggungjawab serta tidak munasabah belakangan ini, menyebabkan terjadinya ketegangan dalam hubungan antara satu sama lain.
Baru-baru ini, perkataan “cabar” sering didengar dan dilihat dalam paparan media. Orang Cina dikatakan cuba mencabar orang Melayu dan agama Islam. Saya terkejut, saya bertanya diri sendiri, bilakah saya mencabar orang Melayu dan Islam?
Sejak bila saya mengeluarkan kata-kata berbau ancaman terhadap orang Melayu? Artikel-artikel yang ditulis sebelum ini saya baca semula tetapi persoalan Cina cabar Melayu ini masih lagi menunggu jawapan.
Saya rasa ada banyak lagi rakyat Malaysia berketurunan Cina juga bertanya soalan yang sama seperti saya. Adakah Cina mencabar Melayu dan Islam? Majoriti daripada kami tidak pernah mencabar hak istimewa kaum Bumiputera dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.
Fakta ini tidak boleh dipertikaikan dan tuduhan orang Melayu diancam tidak benar dan tidak bersasas. Inilah pendirian saya sebagai seorang anak Malaysia berketurunan Cina.
Cubalah tanya rakyat Malaysia di sekeliling kita, adakah kita mahu sebuah negara yang aman dan damai ataupun sebuah negara huru-hara? Adakah Melayu mahu mencari rezeki dalam keadaan yang kecoh? Adakah Cina mempunyai tabiat istimewa yang sengaja hendak menimbulkan huru-hara?
Adakah India begitu senang dan tidak bekerja seterusnya menyebabkan kacau-bilau? Jawapan adalah sama bagi seluruh rakyat Malaysia, kita berhasrat menunaikan tanggungjawab sebagai anak, suami atau isteri dalam suasana tenteram dan harmoni.
Justeru, jawapan yang boleh saya dapat bagi persoalan kenapa Cina sering dipersalahkan dan dituduh mencabar Melayu ialah mereka ini dijangkiti penyakit “takut Cina”. Minda mereka dicuci pihak tertentu dan menganggap kumpulan Tionghua sebagai musuh mereka.
Sebenarnya, sebab-sebab wujudnya penyakit boleh dikesan melalui suasana politik negara. Seperti yang kita sedia maklum, politik tanah air adalah berasaskan kaum. Secara ringkas, Umno mewakili Melayu, MCA mewakili Cina dan MIC mewakili India. Demi memperkukuh kuasa mereka, selama ini pemerintahan kita adalah pecah dan perintah.
Penyakit “takut Cina” disebabkan usaha sesebuah parti bagi meneruskan pemerintahan dan pemegangan kuasa di dalam negara kita. Demi dilihat relevan oleh orang Melayu, orang Cina dijadikan sebagai sasaran.
Ini adalah kerana kaum Cina sering dilihat sebagai kaum yang lebih rajin dan digambarkan kaya-raya. Sebagai kaum kedua terbesar selepas Melayu, jadi tidak hairanlah Cina selalu dijadikan sasaran.
Seperti saya katakan, parti politik ini berjaya mengukuhkan kedudukan mereka dengan memainkan isu perkauman dan agama. Mereka menggambarkan Cina sebagai pencabar Melayu dan Islam serta kononnya mereka ini melindungi Melayu dan mempertahankan Islam.
Saya pernah diberitahu kawan-kawan Melayu yang belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), semasa dalam perhimpunan, mereka diingatkan mereka adalah “benteng terakhir terhadap Cina”.
Jelasnya, pemikiran orang Melayu dicuci sejak kecil-kecil lagi demi tujuan “survival” politik sesetengah parti.
Oleh itu, belakangan ini wujudnya pelbagai kejadian dan peristiwa berbau perkauman, termasuklah “Himpunan 916” dan kesediaan kumpulan silat untuk “berperang”. Saya ketawa melihat anasir-anasir ini yang sering mengatakan mereka dicabar. Kumpulan ini umpama bermimpi. Mereka ini bermimpi Cina mencabar Melayu Islam, sedangkan tidak sesiapapun mencabar orang Melayu.
Sekiranya terdapat kesempatan, saya ingin berbahas dengan kumpulan ini. Adakah betul-betul Cina mencabar Melayu ataupun mereka yang dijangkiti penyakit “takut Cina” ini menggunakan Cina sebagai platform untuk kepentingan sendiri? Inilah persoalan yang patut kita perhalusi.
Apabila saya sedang menulis rencana ini, saya khuatir adakah saya juga akan dituduh mencabar Melayu kerana menggunakan bahasa ibunda Melayu dalam rencana ini?
Wahai saudara Melayu, janganlah terpedaya dalam permainan politik pemimpin kita. Cina bukannya musuh Melayu, Cina hanya ingin mencari makan bersama Melayu dan anak Malaysia yang lain dalam suasana yang aman dan damai, tiada sesiapapun daripada kami yang ingin menimbulkan keadaan huru-hara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan