HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Disember 2015

GLC punca Melayu hilang pegangan ekonomi?


GLC punca Melayu hilang pegangan ekonomi?
A.Kadir Jasin (kiri) pada Siri Bicara Prowaris bertajuk Kebangkitan Profesional Melayu, di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN.
 
 
KUALA LUMPUR - Pemimpin Umno adalah pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kepentingan Melayu di negara ini terjejas apabila mengubah nama badan amanah Bumiputera kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Demikian dakwaan yang dilontarkan oleh Tokoh Wartawan Kebangsaan, Datuk A.Kadir Jasin dalam program Siri Bicara Prowaris bertajuk Kebangkitan Profesional Melayu, di sini, malam tadi.

Menurut Kadir, tindakan itu telah menyebabkan sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan boleh menuntut haknya dalam GLC.

"Proses melunturkan hak Bumiputera berlaku dan dilakukan oleh Umno sendiri. Yang merosakkan pun Eksekutif dan pentadbiran Melayu.

"Agensi ekonomi seperti PKNS dan PNB ditubuhkan untuk tingkat ekonomi Bumiputera tapi kini dibuka kepada bukan Bumiputera walhal ia ibu segala kegiatan ekonomi Bumiputera," ujarnya.

Malah katanya, kerajaan tidak sepatutnya memperkenalkan sebuah lagi syarikat pelaburan negara iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana prestasi Khazanah Nasional Bhd cukup baik.

"Seburuk mana pun Khazanah dia sudah ada rekod prestasi, kalau dia tak cukup modal kita carum dalam Khazanah, bukan tukar kepada syarikat pembangunan strategik, saya pertikaikan, apa perniagaannya.

"Kalau nak jana elektrik, apa strategiknya? Orang lain pun dah buat, kalau pembinaan hartanah, kita sudah ada Sime Darby, Guthrie dan PKNS," ujar bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu lagi.

Tambahnya, untuk meningkatkan pegangan ekonomi Bumiputera sehingga 30 peratus atau melahirkan raksasa korporat Melayu, apa yang perlu dilakukan adalah membina semula 'Kelas Bumiputera Profesional.

"Inilah satu-satunya harapan yang masih ada hari ini, kerana ukuran penyusunan masyarakat, berdasarkan ukuran kekayaan korporat Melayu yang masih tak tercapai sehingga ke hari ini.

"Mereka ini sedang dimusnahkan, kita musnahkan kredibiliti Bank Negara Malaysia. Siapa yang tubuhkan 1MDB? Siapa yang uruskan... mereka ini politik Melayu, yang urus pun Melayu," katanya lagi.


Tiada ulasan: