Gambar hiasan
SHAH ALAM - Kertas surat khabar hanya boleh diguna sebagai lapisan kedua untuk bungkus makanan dan tidak bersentuhan secara langsung dengan makanan sedia dimakan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu tertakluk di bawah Peraturan 35, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu seseorang pengendali makanan hendaklah mengendalikan makanan dan menggunakan perkakas dan bekas makanan tanpa bersentuhan secara langsung dengan apa-apa benda atau bahan yang boleh mencemarkan makanan itu.
“Bahan pembungkus seperti plastik (lutsinar) atau daun pisang hendaklah diguna sebagai lapisan pertama yang melindungi makanan daripada bersentuhan secara langsung dengan kertas surat khabar.
“Lapisan pertama ini hendaklah bersih,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, pembungkusan makanan sedia dimakan dengan surat khabar sebagai lapisan kedua juga hendaklah dikendalikan dengan kaedah yang dapat mengelakkan pencemaran dakwat kertas surat khabar kepada makanan tersebut melalui apa jua cara.
“Contohnya, pencemaran boleh terjadi melalui tangan pengendali makanan yang menyentuh kertas surat khabar terlebih dahulu dan kemudiann menyentuh makanan.
“Kertas surat khabar hendaklah tidak diguna bersentuhan secara langsung dengan makanan sedia dimakan seperti menutup makanan atau serap minyak daripada makanan bergoreng,” katanya.
Menurutnya, kegagalan mematuhi peraturan itu merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan