HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 Disember 2015

“Mana Manfaat GST Untuk Rakyat Kedah?”



Oleh Dr Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi


1. PAS tegas dengan pendirian tidak menyokong apa-apa cukai yang dikenakan terhadap rakyat berpendapatan rendah atau miskin, seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Namun apabila kerajaan beriya-iya mempertahankannya, maka Kerajaan perlu menjelaskan beberapa persoalan berhubung GST.

Kerajaan Persekutuan nampaknya banyak ‘memperkudakan’ Kerajaan Negeri dalam mengutip hasil GST dari rakyat negeri ini, tetapi kesemua hasil kutipan 6 peratus GST itu diambil oleh pihak Persekutuan sedangkan Negeri tidak mendapat apa-apa.

2. Daripada RM30 billion hasil GST yang dikutip, berapakah yang disalurkan kembali untuk manfaat rakyat Kedah? Rancangan pembangunan di negeri ini nampaknya masih terkebelakang. Masalah infrastruktur di kawasan luarbandar masih bermasalah kerana tiada penyelenggaraan. Projek-projek besar, kononnya sebagai pemangkin ekonomi negeri, tidak banyak yang jadi kenyataan.

3. Sekalipun Kedah adalah negeri pengeluar padi utama negara, namun sistem pengairan dan saliran di kawasan MADA masih bermasalah. Semakin banyak saliran yang mengecil, cetek dan membantutkan sistem pengairan. Hasil padi berkurang, kos pengurusan semakin meningkat, kenaikan harga padi terlalu kecil sedangkan potongan bertambah. Di mana peranan GST untuk membantu golongan petani?

4. Bagi masyarakat penoreh, kemerosotan harga getah masih berlarutan. Sewaktu penoreh di negara jiran, Thailand, menikmati harga getah sekerap RM4.30 sekilogram, penoreh di negeri ini hanya mendapat hasil getah sekerap antara RM1.50 dan RM2.20 sahaja. Mana hasil GST untuk membantu masyarakat pengusaha getah?

5. Sebagai mewakili rakyat Kedah, saya menyeru YAB Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Mukhriz Mahathir supaya berani menegur kepimpinan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri untuk mengembalikan wang GST yang dikutip dari rakyat Kedah dalam bentuk memberi manfaat kepada rakyat negeri ini. Mukhriz Hendaklah berani dan lantang seperti bapanya, Tun Dr. Mahathir, dalam menekan dan kepimpinan kerajaan Persekutuan yang tidak bertindak adil terhadap rakyat Kedah. Rakyat tidak perlukan pemimpin yang hanya tahu “mengangguk” kerana pemimpin seperti itu sudah bersepah dalam negara.

6. PAS Kedah mendesak kepimpinan Kerajaan Negeri supaya bijak dalam mencari sumber-sumber baharu untuk menambah hasil negeri juga menambah peluang pekerjaan baharu, di saat terdapat kalangan rakyat yang hilang pekerjaan akibat penutupan operasi beberapa buah kilang besar.

7. Saya beranggapan bahawa isu melibatkan kepentingan rakyat, lebih-lebih lagi di kala rakyat tertekan dengan bebanan kos sara hidup; lebih menjadi keutamaan di saat ini berbanding gimik isu ‘kerjasama Umno-PAS’.

(*)  Dr Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi. Pesuruhjaya PAS Kedah.

1 ulasan:

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.