SPRM mengesahkan perkara itu dalam 1 kenyataan ringkas hari ini.
"SPRM mengambil keterangan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini, 5 Disember 2015 berhubung isu SRC International dan dana RM2.6 bilion.
"Pertemuan hari ini berlangsung selama 2 setengah jam. Perdana menteri memberi kerjasama yang baik kepada SPRM. "SPRM akan memaklumkan perkembangan susulan dari semasa ke semasa," kata agensi anti rasuah itu.
SRC ialah bekas anak syarikat firma pelaburan milik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pegawai SPRM bertemu Najib pada Khamis lalu bagi menetapkan 1 temujanji untuk merakamkan kenyataannya mengenai perkara itu.
Hujung minggu lalu, pegawai SPRM mengambil keterangan daripada ahli perniagaan Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, dan Pengarah SRC Datuk Suboh Mohd Yassin.
SRC ialah anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan secara langsung di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider bulan lalu, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengatakan, beliau memberi SPRM sehingga akhir tahun ini untuk merakamkan kenyataan Najib berhubung wang RM2.6 bilion yang diterimanya.
Apandi juga berkata beliau memaklumkan Najib mengenai perkara itu dan perdana menteri bersetuju dia perlu disoal.
Pengkritik menuduh pihak berkuasa sengaja melengah-lengahkan siasatan dalam kes ini, manakala Majlis Raja-raja bulan lalu menggesa kerajaan melengkapkan siasatan berkaitan 1MDB dengan seberapa segera yang mungkin.
The Wall Street Journal (WSJ) pada 2 Julai menyiarkan artikel memetik "penyiasat yang tidak dinamakan" mengatakan hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion, pada masa itu) dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib, sebahagian besarnya dipindahkan sebelum pilihan raya umum ke-13 pada Mei 2013.
1MDB menafikan dakwaan itu, manakala Najib menafikan ada mengambil dana negara untuk kepentingan peribadi.
Beliau juga pernah mengugut untuk menyaman WSJ mengenai artikel itu.
Perdana menteri juga berkata beliau sedia memberi keterangan kepada agensi anti-rasuah mengenai "derma politik" RM2.6 bilion itu dan berjanji berbuat demikian "secepat mungkin".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan