HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Disember 2015

Tindakan memburukkan pemimpin di media sosial perlu dihentikan - Haron Din

 Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din melahirkan kebimbangan terhadap kebebasan media sosial yang disifatkan tanpa kekangan sehingga boleh menggugat kedudukan agama Islam dan institusi diraja di negara ini.
 
Justeru beliau menegaskan perkembangan dalam negara yang menyaksikan media sosial digunakan sebagai platform memburuk-burukkan individu lain perlu dikekang.
 
"Perkembangan media sosial yang memberi kebebasan seluas-luasnya kepada pengguna yang diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk memburukkan segala apa yang mereka rasa buruk pada pandangan mereka.
 
"Adapun kepada emosi mereka maka timbullah tuduhan yang tidak baik bukan sahaja kepada ulama malah kepada Islam itu sendiri bahkan melibatkan raja-raja dan pemimpin," katanya kepada Antarapos.
 
Ujar Haron, kerajaan perlu memberi perhatian terhadap perkara itu selain mencari penyelesaian agar media sosial tidak disalahguna untuk kepentingan pihak tertentu.
 
"Jika dibiarkan ia semakin mendatangkan keburukan kepada masyarakat khasnya kepada agama kerana itu patutlah diambil perhatian dan dicari penyelesaian," katanya.
 
Pencegahan elak media sosial disalahguna perlu dikuatkuasakan
 
Mengulas lanjut, Haron berkata sekatan atau pemantauan berterusan perlu dilakukan agar tindakan memburukkan pemimpin negara di laman sosial dikurangkan.
 
"Harapan mutlak itu perlulah kepada satu usaha yang murni ke arah memahamkan masyarakat dan kepada media bahawa kemudahan itu sepatut diguna untuk kebaikan.
 
"Adapun menyatakan keburukan orang dalam media terbuka itu adalah ghibah," katanya.
 
Kata pengamal perubatan Islam ini, Islam tidak mengajar serta menggalakkan umatnya bersikap demikian.
 
"Ghibah ialah kerja memburuk-burukkan orang itu tidak dibenarkan oleh Islam," katanya.
 
Menurut Haron lagi, pencegahan perlu dilakukan pihak kerajaan sebagaimana tindakan yang dikenakan ke atas individu yang menyebarkan fitnah.
 
"Kalau fitnah memanglah bukan sahaj Islam tidak benarkan malah undang-undang juga tidak benarkannya.
 
"Jadi kalau kita balik kepada hukum Islam memanglah hal seperti itu perlu ada pencegahan," katanya.
 
 

Tiada ulasan: