PUTRAJAYA - Kadar pengurangan sebanyak tiga peratus caruman Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) bagi individu tidak akan membantu golongan pekerja, malah ia akan memberi kesan kepada individu tersebut pada masa akan datang.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja (MTUC), N. Gopal Krishnam berkata, kesan pengurangan tersebut tidak akan dapat dilihat pada waktu ini, sebaliknya hanya dapat dirasai apabila seseorang itu melalui fasa persaraan kelak.
"KWSP adalah pelan persaraan bagi golongan pekerja. Apabila kita sudah bersara, wang itulah kita nak guna. Kalau kita lihat keadaan sekarang pun, majoriti daripada kita tidak cukup wang persaraan daripada KWSP.
"Pengurangan tersebut tidak akan memberi kesan yang baik kepada golongan pekerja," katanya ketika dihubungi Sinar Online, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Pengubahsuaian Bajet2016 semalam mengumumkan pengurangan sebanyak tiga peratus bagi kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) bermula Mac ini.
Menurut Najib lagi, pengurangan tersebut hanya diperuntukkan terhadap caruman individu, manakala caruman KWSP bagi pihak majikan pula diteruskan seperti biasa.
Golongan pekerja selama ini mencarum kepada KWSP sebanyak 11 peratus daripada kadar pendapatan yang diperoleh.
[ARTIKEL BERKAITAN: Ubah suai #Bajet2016: Caruman KWSP dikurangkan]
Menurutnya lagi, kadar pengurangan caruman tiga peratus itu tidak akan memberi banyak faedah kepada seisi keluarga.
Jelasnya lagi, dengan cukai GST yang dikenakan kerajaan, kadar tersebut tidak akan mampu menampung beban rakyat yang terpaksa membayar cukai tersebut.
"Sebanyak 65 peratus keluarga dalam negara menerima hanya kurang daripada RM 3,500 setiap bulan.
Kalau hanya tiga peratus, ia hanya lebih kurang RM 105, ia masih tidak cukup," ujarnya lagi.
Sebaliknya, katanya lagi, apa yang diharapkan daripada Najib hari ini adalah pengumuman Elaun Saraan Hidup (Cola) daripada majikan untuk pekerja.
"Pekerja kerajaan masih dapat elaun Cola, dan mereka juga menikmati kenaikan gaji pada Julai nanti. Kita bukan cemburu dengan mereka, tetapi Najib harus faham masalah yang dihadapi oleh pekerja swasta," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan