HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Januari 2016

Keputusan Apandi bebaskan Najib sejarah terburuk perundangan negara

najib apandi

Oleh Fatih Hassan Nordin


KUALA LUMPUR : Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang melepaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari tuduhan salah guna dana sebagai sejarah terburuk perundangan negara.

Ia berikutan, Kit Siang berkata, alasan Apandi membebaskan Najib membabitkan skandal RM2.6 billion serta RM42 juta dari SRC Internasional Sdn Bhd ke akaun peribadinya tidak bersandar bukti kukuh sekaligus kebenarannya diragui.

“Apandi mesti kemuka bukti Najib sudah memulangkan US$620 juta kepada keluarga diraja Saudi dan apa berlaku dengan baki US$41 juta membabitkan skandal derma RM2.6 bilion itu.

“Atau adakah Apandi tidak ada bukti langsung mengenai perpindahan kedua-dua dana berkenaan? Jika ya, kecekapan serta sikap profesional Apandi sebagai Peguam Negara boleh dipersoal,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Malah, kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu, keputusan itu juga diragui kebenarannya berikutan sikap berdiam diri Najib yang kononnya memulangkan sebahagian ‘derma’ berkenaan tidak diketahui orang kanannya serta bercanggah dengan kenyataan sebelum ini.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah tahu RM2.6 billion masuk ke akaun peribadi Najib dan sehingga dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 29 Julai tahun lalu, beliau tidak tahu Najib sudah memulangkan sebahagian ‘derma’ berkenaan.

“Malah, Datuk Seri Zahid Hamid juga tidak tahu menahu,” katanya sambil menyifatkan sikap ‘berahsia’ Najib itu mengambarkan ada sesuatu tidak kena dengan pentadbiran Perdana Menteri itu.

Selasa lalu, Apandi dilapor berkata sebahagian derma RM2.6 bilion iaitu RM2.03 bilion sudah dipulangkan kepada keluarga diraja Arab Saudi pada Ogos 2013, atas alasan ia tidak digunakan Najib sekaligus Peguam Negara itu menyimpulkan bahawa Najib ‘bersih’.

Justeru, Penasihat DAP itu menyarankan satu sidang khas Parlimen diadakan bagi mendesak Perdana Menteri itu memberi penjelasan terperinci mengenai ‘skandal mega berkembar’ berikutan terdapat keraguan ketara.

“Sidang khas itu yang diperlukan negara kini, untuk menyakinkan rakyat dan dunia bahawa Najib mempunyai komitmen dan integriti yang tinggi untuk menentang amalam korupsi,” katanya. -Roketkini.com


Tiada ulasan: