HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Januari 2016

Tabung Haji: 5 soalan tanpa jawapan

Mujahid Yusof Rawa


 


ULASAN Pengerusi Lembaga Tahung Haji (LTH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim perlu menjawab soalan-soalan dari surat dari Bank Negara Malaysia (BNM) yang sedang berlegar di media sosial tentang kedudukan kewangan yang menjejaskan pulangan dividen kepada pendeposit.

Pengerusi LTH itu juga menggunakan kaedah mengugut pembocor maklumat seolah-olah cuba mengalihkan isu sebenar yang berlaku atas risiko sembilan juta pendepositnya daripada kalangan umat Islam.

Pengerusi LTH tidak menjawab soalan utama iaitu:

(1) Bagaimana lembaga pengarah dan pengurusannya membuat keputusan strategik tentang portfolio pelaburannya dari sudut kepentingan sembilan juta pendeposit yang mempunyai kepercayaan tinggi terhadap LTH.

(2) Pulangan dividen berasakan untung adalah untuk LTH melabur terus supaya masa depannya akan lebih berkembang.

Bagaimana LTH dapat berbuat demikian jika ia membayar dividen lebih daripada untungnya? (Sebanyak 107 peratus purata sejak 2012-2014.)

(3) Akibatnya, nilai rizabnya menjadi lebih rendah dari liabiliti (obligasinya) lalu menjejaskan pemberian dividen berdasarkan kepada Akta Lembaga Tabung Haji seksyen 22(2)(i).

Adakah lembaga pengarahnya akan melanggar undang-undang dengan pengerusinya terus menjamin sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang?

Betulkan nilai aset rizabnya 98sen berbanding RM1 nilai liabilitinya?

(4) Pengerusi LTH juga tidak menjelaskan bahaya kepada portfolio pelaburannya apabila 5 peratus pendeposit secara berinstitusi menguasai 75 peratus saiz deposit.

Berbeza dengan pendeposit individu yang tidak bertujuan keuntungan hanya menyimpan untuk melakukan ibadat haji, pendeposit “instituitional” bermotifkan keuntungan.

Apakah mereka mahu mengalami kerugian dengan kedudukan sekarang atau mahukah mereka meneruskan pelaburan dalam keadaan pengurusan korporat LTH yang tidak telus dan melanggar undang-undang?
Penarikan mereka daripada pelaburan TH akan menyebabkan kedudukan LTH lebih parah.

(5) Memasukkan peguam negara sebagai ALP baru tidak akan membetulkan keadaan malah menimbulkan lebih spekulasi tentang percanggahan kepentingan seolah-olah bertujuan untuk sekali lagi ‘menyelematkan’ LTH daripada tindakan undang-undang dan bukan untuk menjawab persoalan kedudukannya sekarang.

Akhirnya, janganlah membunuh pembawa berita (don't shoot the messenger) tetapi carilah apa permasalahannya supaya LTH kekal dihormati oleh umat Islam sebagai institusi pengurusan haji unggul di mata dunia.

*  DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA naib presiden AMANAH merangkap anggota parlimen.


Tiada ulasan: