HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Januari 2016

Apandi tidak berhak arah SPRM henti siasat Najib, kata bekas peguam negara



OLEH V. ANBALAGAN


Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak ada bidang kuasa untuk mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan terhadap sumbangan RM2.6 bilion yang dikatakan dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri, kata bekas peguam negara.

Bahkan Tan Sri Abu Talib Othman berkata, Apandi dalam kes ini, tidak membantu SPRM memperoleh dokumen dan kenyataan dari luar negara untuk membantu siasatan itu, di bawah inisiatif bantuan undang-undang persefahaman (MLA).

“Mengikut Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, peguam negara hanya ada kuasa untuk memula, menjalankan dan menghentikan sebarang prosiding (jenayah), tetapi tidak ada bidang kuasa mengarahkan sebarang agensi siasatan menutup kertas siasatannya.

“Kes ini membabitkan kepentingan awam yang menarik perhatian seluruh dunia, peguam negara mesti bantu SPRM kumpul bukti kerana sumber wang itu datang dari luar Malaysia,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Apandi  Selasa lepas yang berpuas hati Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan kesalahan jenayah berhubung wang sumbangan itu dan SRC International.
Apandi berkata tidak ada “bukti mencukupi” untuk mendakwa perdana menteri.

Bagaimanapun, Abu Talib berkata sepatutnya apa yang lebih ideal adalah jika Apandi membenarkan SPRM melengkapkan siasatan itu dan memberikan apa juga bantuan yang diperlukan memandangkan sumber sumbangan dari luar Malaysia.

“Sama ada akan memulakan pendakwaan atau tidak sepatutnya diputuskan selepas siasatan itu,” kata Abu Talib.

Katanya, Malaysia mengamalkan sistem semak dan imbang dalam pentadbiran keadilan.

“Kuasa penyiasatan terletak pada SPRM sepenuhnya. Pendakwaan berdasarkan kepada bukti yang ada dan jika ada, tugas pendakwa raya untuk memulakan pendakwaan terhadap orang kena tuduh.

“Ia tugas mahkamah untuk memastikan sama ada seseorang itu bersalah melakukan jenayah atau tidak,” katanya.

Pada 31 Disember, Timbalan Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata siasatan RM2.6 bilion itu tidak lengkap dan agensi penyiasatan itu perlu mendapatkan dokumen dan penyata membabitkan beberapa institusi kewangan luar negara.

“Dokumen dan penyata itu hanya boleh diambil menerusi MLA kerana mereka terikat kepada undang-undang perbankan negara yang terlibat,” kata Shukri dalam satu kenyataan, tidak lama selepas kertas siasatan mengenai sumbangan SRC International itu dihantar kepada Apandi.

Bagaimanapun, pada sidang medianya Selasa lalu, Apandi berkata Malaysia tiada keperluan mendapatkan bantuan undang-undang daripada negara lain bagi menyiasat sumbangan itu kerana beliau mendapati tiada kesalahan dilakukan.

“Saya akan kembalikan kertas siasatan berkaitan kepada SPRM dengan arahan untuk menutup 3 kertas siasatan,” kata Apandi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said semalam berkata tiada sesiapa boleh mempertikaikan keputusan peguam negara tidak mendakwa Najib kerana salah laku berhubung siasatan sumbangan RM2.6 bilion dan SRC.

Azalina yang juga seorang peguam berkata undang-undang memberi budi bicara peguam negara sepenuhnya untuk memutuskan sama ada kes itu perlu diteruskan di mahkamah atau tidak.

Sehubungan itu, katanya, rakyat Malaysia patut berhenti berdebat lebih lanjut mengenai kes itu.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga memberi komen terhadap keputusan Apandi, menuduh peguam negara memainkan peranan sebagai hakim dan pendakwa.

“Keputusan itu sebenarnya penghakiman. Peguam negara jadi kedua-duanya hakim dan pendakwa. Itu saja sudah tidak adil,” kata Dr Mahathir.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com

Tiada ulasan: