KUALA LUMPUR: Sebanyak 176 butir peluru 9mm ditemukan bertaburan di tepi jalan di Jalan Batu 14 berhampiran kawasan pelupusan sampah Hulu Langat dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 pagi itu, kesemua peluru yang masih belum digunakan telah ditemukan oleh seorang lelaki yang menunggang basikal melalui kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, ketika kejadian, lelaki berusia 38 tahun itu bersama seorang lagi rakannya beriadah dengan menunggang basikal dari Batu 18 dekat sini menghala ke Ampang.
Ujarnya, sebaik sahaja tiba di kawasan tersebut, mereka seterusnya menemukan ketulan besi berupa peluru sebelum bertindak menghubungi pihak polis memaklumkan mengenai kejadian.
“Hasil siasatan lanjut di lokasi kejadian, polis mendapati kawasan tersebut tidak mempunyai sebarang tempat latihan menembak dan juga lapang sasar berhampirannya.
“Selain itu, tiada laporan polis dilakukan sehingga kini oleh mana-mana pihak mengenai kehilangan peluru,” katanya kepada pemberita.
Tambah Ahmad Dzaffir, kesemua peluru terbabit telah dihantar ke Bahagian Persenjataan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK), Selangor untuk pengesahan dan ujian lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan