BEBERAPA hari lepas,
Penasihat DAP Lim Kit Siang menyatakan janji beliau bahawa DAP dan
Pakatan Harapan (PH) akan terus mengangkat dan memelihara nilai dan
ajaran sebenar Islam dan agama-agama lain sekiranya PH diberikan peluang
untuk mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) yang akan
datang.
Dalam kenyataan tersebut, Kit Siang
menyifatkan kerajaan persekutuan yang dibentuk DAP dan PH akan
memastikan semua agama termasuklah Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh akan
dilindungi berdasarkan prinsip keamanan, keadilan dan kesatuan yang
dipromosikan kesemua agama tersebut.
Bukan Kali Pertama
Ini bukanlah kali pertama janji
seumpamanya ditaburkan Kit Siang dan DAP. Malah, inilah janji yang
‘diratib’ saban tahun terutamanya apabila menyedari sentimen orang
Melayu yang semakin lama semakin tidak menyebelahi mereka.
Akhir-akhir ini, popular benar perkataan
‘Taliban’ di pelbagai lapangan media. Perkataan ini digunakan
sesetengah pihak bagi merujuk kepada fahaman ‘ekstrim’ dan ‘sempit’ yang
diketengahkan sesetengah individu mahupun entiti politik. Ahli DAP,
Dato’ Mohd Zaid Ibrahim umpamanya dilihat kerap menggunakan perkataan
ini untuk merujuk kepada PAS dan golongan konservatif dalam UMNO.
Perkataan ini semakin popular berikutan
beberapa isu kontroversi yang berlaku baru-baru ini seperti isu dobi
‘mesra Muslim’, pengharaman pesta arak dan yang terbaru, isu mendapatkan
perkhidmatan gunting rambut dengan orang bukan Islam. Sebagai contoh,
ketika menyambut Oktoberfest yang ke-45 anjuran Persatuan Jerman
Malaysia di Pulau Pinang hujung minggu lalu, Ketua Menteri Lim Guan Eng
menyifatkan kejayaan acara tersebut memperlihatkan bahawa negeri itu
bukanlah negeri Taliban.
Islam Yang Bagaimana?
Nah, secara tidak langsung, Guan Eng
juga nampaknya mahu memberitahu rakyat Malaysia bahawa sesiapa sahaja
yang menentang penganjuran pesta arak selayaknya digelar Taliban.
Mengambil kira bantahan luas yang dikemukakan umat Islam mengenai isu
ini, Guan Eng juga sebenarnya secara langsung telah melabelkan umat
Islam di Malaysia sebagai Taliban. Malah, beliau dengan bongkak memberi
jaminan bahawa golongan ‘pelampau’ ini tidak akan berjaya di Pulau
Pinang.
Jika benar DAP serius mahu membantu
memelihara nilai dan ajaran Islam, maka kita bertanya nilai dan ajaran
semacam apa yang mahu mereka jaga dan pertahankan? Apakah Islam yang
mereka mahu angkat itu adalah seperti fahaman liberal yang ditonjolkan
Zaid Ibrahim, Siti Kassim dan beberapa entiti lain seperti kumpulan G25?
Nilai Dan Adat Yang Terancam
Malang sekali melihatkan nasib umat
Islam di Malaysia pada hari ini yang nampaknya secara perlahan-lahan
terpaksa mengorbankan kepentingan nilai agama mereka terhadap permainan
kotor beberapa kelompok tertentu. Masakan tidak, akibat jarum-jarum
liberal yang mula menusuk masuk hatta ke dalam pemikiran sesetengah
orang Melayu sendiri, kita sudah boleh melihat bagaimana sesetengah
‘pendapat’ mula dikeluarkan bagi meraikan dan menggembirakan hati
golongan anti-Islam ini. Akhirnya kepentingan dan sensitiviti orang
Islam jugalah yang terabai. Sungguh, semakin hari semakin banyak fitnah
yang menimpa umat Islam di Malaysia yang rata-ratanya disebabkan
permainan jahat sesetengah media yang tidak bertanggungjawab.
Lihat pula bagaimana kelompok ini
menentang dan membantah keras pindaan Rang Undang-Undang (355) bagi
tujuan pemerkasaan mahkamah syariah, satu perkara yang tidak ada kena
mengena langsung dengan agama dan kehidupan mereka. Jika perkara
sebegini pun mereka sudah berani halang dan sekat, lalu bagaimana orang
Melayu mahu meletakkan kepercayaan terhadap DAP dalam memelihara nilai
Islam?
AMANAH Dan PPBM Belum Boleh Diharap
Masuknya Datuk Seri Anwar Ibrahim ke
dalam penjara mungkin sedikit sebanyak melemahkan blok pembangkang
khususnya parti-parti majoriti Melayu, tetapi tidak buat DAP. Ketiadaan
Anwar ternyata memberikan mereka peluang untuk mendominasi pakatan itu.
Biarpun di sana ada AMANAH dan PPBM dengan ditambah pula faktor
kepimpinan bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir, namun ianya masih
belum cukup ampuh dan kuat untuk menandingi aura dan pengaruh yang
dimiliki Anwar. Sememangnya AMANAH dan PPBM belum boleh diharap untuk
menjamin kepentingan Melayu dan Islam di negara ini. Kita tidak perlu
pergi jauh, lihat sahajalah kegagalan himpunan anti-kleptokrasi yang
mereka anjurkan minggu lalu.
Menghadapi ujian ini, kita tidak dapat
menafikan bahawa orang Melayu Islam kini bergantung sepenuhnya terhadap
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai benteng terakhir survival
mereka. Mereka kini agak serba serbi terkebelakang khususnya dalam aspek
ekonomi. Kekuatan politik mereka pula nampaknya semakin lama semakin
terhakis yang tidak hanya berpunca daripada peningkatan penguasaan
politik oleh etnik lain, bahkan lebih malang ianya turut berpunca
daripada percakaran sesama parti dan orang Melayu itu sendiri.
Agama Kita, Tanggungjawab Kita
Sikap keras kepala DAP yang
terus-menerus mengancam institusi Islam di negara ini seharusnya
membuatkan umat Islam berfikir dua kali sebelum membuat sebarang
keputusan untuk menukar kerajaan pada PRU kelak. Dalam keadaan blok
pembangkang Melayu yang masih lemah, pastinya DAP adalah pihak yang
paling untung jika kerajaan dominan Melayu yang ada sekarang
ditumbangkan. Dengan agenda sekular dan anti-Islamisasi yang didokong
mereka, kita yakin orang Melayu tentunya tidak mahu definisi nilai dan
ajaran sebenar Islam akhirnya hanya ditentukan dan diterjemahkan oleh
kelompok ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan