HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 Oktober 2017

JAIP lupus dua tan metrik abu al-Quran


MALAYSIA GAZETTE
pix ihsan Sinar Harian.


ROMPIN – Sebanyak dua tan metrik abu al-Quran dan buku agama dilupuskan di perairan Pulau Sembilang kira-kira 23 batu nautika dari Jeti Marina Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), hari ini.

Semua abu yang diletakkan berasingan di dalam 250 beg plastik dengan berbentuk bongkah, dibawa menggunakan kapal KM Baghahak milik APMM Wilayah Timur ke kawasan laut berkenaan untuk dilupuskan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Noridzuan Abdul Manan berkata kesemua al-Quran dan buku agama yang dilupuskan itu, rosak akibat banjir besar di Pahang sebelum ini.

“Kita mula kumpulkan semua bahan ini secara berperingkat di Pusat Pemuliaan al-Quran di ibu pejabat JAIP (di Pekan) bagi proses pelupusan sejak dua tahun lepas dan orang ramai sendiri turut datang menghantar al-Quran dan buku agama milik mereka yang rosak ke pusat berkenaan.

“Bahan-bahan seberat 13 tan metrik itu kemudian dibakar secara berperingkat menggunakan relau yang siap dibina pada November 2015 dengan kos RM38,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noridzuan berkata pembinaan relau milik JAIP sendiri telah menjimatkan kos pelupusan serta mengeratkan hubungan antara JAIP dengan agensi lain seperti APMM yang membantu kerja-kerja pelepasan abu al-Quran ke laut.

“Bagi usaha julung kali ini, JAIP berjaya menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM78,000 bagi kerja-kerja pelupusan. Sebelum ini semua bahan itu dihantar kepada pihak luar dan untuk setiap tan metrik bahan yang dilupuskan ia dikenakan caj sebanyak RM6,000,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai bahawa al-Quran yang sudah usang dan reput tidak boleh dibuang begitu sahaja tanpa menggunakan cara yang betul, bagi menjaga kehormatan ayat suci al-Quran.

“Masih ramai yang enggan ambil pusing mengenai kepentingan menjaga kesucian al-Quran atau buku agama yang tertulis ayat al-Quran di dalamnya dengan betul.

“Walaupun sudah koyak, lusuh dan buruk…namun ia tidak boleh dibuang begitu sahaja.

“Kita menyarankan orang ramai yang tidak tahu cara yang betul bagi melupuskan al-Quran atau buku yang mengandungi cetakan ayat suci berkenaan, boleh menghantar bahan-bahan berkenaan ke Pusat Pemuliaan al-Quran bagi melalui proses pelupusan yang sempurna,” katanya.- BERNAMA


Tiada ulasan: