SHAH ALAM: Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md
Yunos hari ini mencipta satu lagi gimiknya apabila bertindak memecahkan
lebih 100 tin bir di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK)
di sini.
Tindakan itu dilakukan sebagai simbolik kepada bantahan penganjuran pesta minuman keras di Selangor.
Beliau sebelum itu hadir bersama kira-kira 20 orang penyokongnya sambil
membawa beberapa kotak minuman keras dan tukul besi pada kira-kira jam
10.15 pagi.
Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar turut memberikan
amaran kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya tidak
mengambil mudah terhadap penganjuran pesta itu selain melarangnya
diadakan di Selangor.
Kontroversi tercetus selepas timbul ura-ura penganjuran pesta arak
Better Beer Festival 2017 akan dipindahkan ke Selangor selepas Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjurannya yang
dirancang diadakan pada 6 dan 7 Oktober di Publika Shopping Gallery,
atas faktor ia mengundang ancaman gerakan ekstremis.
Selain itu, penganjuran pesta Centro Mall German Food & Beverages
Festival, acara yang dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 Oktober
ini di Klang, turut mendapat bantahan sungguhpun pernah dianjurkan untuk
beberapa tahun sebelum ini.
Azmin semalam dalam kenyataannya kepada media berkata Centro Mall
German Food & Beverages Festival boleh diteruskan sekiranya menepati
syarat yang ditetapkan.
Kelmarin Majlis Perbandaran Klang (MPK) dilapor memaklumkan tiada
permit dikeluarkan kepada pihak penganjur setelah Centro Properties
Group kerana syarikat itu gagal memenuhi syarat-syarat MPK.
Antara syarat itu adalah mendapatkan kelulusan polis bagi memastikan
festival sedemikian bebas daripada sebarang risiko keselamatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan