KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) dan
Malaysia Airlines Bhd (MAB) mengumumkan Kapten Izham Ismail akan
dilantik sebagai pengarah eksekutif dan ketua pegawai eksekutif kumpulan
(GCEO) berkuat kuasa serta-merta, lapor Bernama.
Dalam kenyataannya, MAB berkata Izham - yang kini merupakan ketua
pegawai operasi (COO) - akan menyandang jawatan GCEO pada 1 Dis 2017
ekoran ketiadaan Peter Bellew yang kini diletakkan di bawah cuti
pentadbiran.
Katanya pelantikan Izham sejajar dengan pelan penggantian yang
digariskan MAB sebagai sebahagian daripada Pelan Pemulihan 12 Perkara
MAS (MRP), yang disediakan bagi pembangunan dan penggantian bakat
kepimpinan Malaysia.
“Bagi memastikan peralihan lancar, sebuah jawatankuasa lembaga eksekutif akan ditubuhkan untuk tempoh enam bulan.
"Ia akan diketuai oleh Pengerusi Tan Sri Md Nor Yusof dan akan
membabitkan ahli lembaga pengarah Tan Sri Krishnan Tan Boon Seng, Tan
Sri Zamzamzairani Isa dan Sheranjiv Sammanthan,” menurut MAB.
Katanya Izham telah memainkan peranan penting kepada usaha pemulihan berterusan syarikat penerbangan itu.
Sebagai COO, katanya, beliau bertanggungjawab bagi bahagian operasi,
yang termasuk operasi penerbangan dan lapangan terbang serta
kejuruteraan.
“Beliau mengetuai penyusunan semula bahagian kejuruteraan bagi operasi
yang lebih cekap dan lancar, serta bertanggungjawab bagi inisiatif
penjimatan bahan api syarikat penerbangan itu," menurut MAB.
Izham mempunyai pengalaman selama 38 tahun dalam industri penerbangan,
memulakan kerjaya dengan Malaysia Airlines sebagai juruterbang pada 1979
dan telah memecahkan rekod penerbangan dunia apabila beliau
menerbangkan pesawat B777-200 pertama Malaysia Airlines pergi dan balik
dari Seattle ke Kuala Lumpur.
Sebelum dilantik sebagai COO pada 2016, beliau pernah berkhidmat
sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MASwings, syarikat sekutu Malaysia
Airlines di Sabah dan Sarawak.
Mengalu-alukan Izham kepada jawatan barunya, Md Nor berkata Izham
merupakan ahli penting dalam keluarga MH dan mempunyai pemahaman yang
luas mengenai operasi syarikat penerbangan dan pengurusan perniagaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan