DETIK DAILY
SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengajak 3 bekas
menteri besar Selangor daripada Umno bekerjasama dengannya demi kebaikan
dan kesejahteraan rakyat negeri itu.
Tiga bekas menteri besar yang dimaksudkan itu adalah Tan Sri Muhammad
Muhammad Taib, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohamad Khir Toyo.
Khalid menegaskan beliau tidak akan menyertai PAS mahupun Barisan
Nasional (BN), tetapi sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang
memperjuangkan kepentingan rakyat seperti penstrukturan semula industri
bekalan air Selangor, bukannya untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Ada cerita bekas menteri besar Selangor yang lepas mahu meminang
saya (sertai Barisan Nasional), jawapannya tidak perlulah. Saya tidak
mahu.
“Tetapi, kalau mereka (3 bekas menteri besar) setuju hendak
bekerjasama dalam memulangkan hak air kepada rakyat Selangor, maka saya
akan ikut,” katanya selepas menghadiri program kutipan dana pilihan raya
PAS di sini, hari ini.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Hassan mendakwa Khalid sedia
membantu BN merampas kembali Selangor daripada Pakatan Harapan.
Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Selangor
itu berkata, Khalid termasuk dalam senarai 4 bekas menteri besar
Selangor yang akan membantu kemenangan BN di negeri itu.
Mengulas lanjut, Khalid yang juga ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu
berkata, PAS tidak perlu mempertikaikan sokongannya kepada parti itu
kerana beliau akan tetap membantu parti Islam itu berkempen pada PRU14,
walaupun bukan ahli.
“Saya hendak ingatkan rakan-rakan kita (PAS), saya akan bersama
sepentas dengan PAS dan BN untuk kebaikan dan kepentingan Selangor
sahaja.
“(PAS) Jangan takut, tidak perlu persoalkan. Yang kita hendak
persoalkan adalah bagaimana mahu mendidik kepimpinan kita dengan prinsip
Islam, kembali kepada kegemilangan Islam.”
Adun Pelabuhan Klang itu yang tidak mahu bertanding pada PRU14 berkata, perjuangannya kini melebihi perjuangan parti politik.
Khalid menyertai Umno sekitar 1990-an sebelum melompat ke PKR sekitar 2000.
Beliau dipilih sebagai menteri besar Selangor selepas kejayaan Pakatan Rakyat menawan negeri itu pada PRU 2008.
Namun, jawatan Khalid sebagai menteri besar tidak kekal lama, apabila
beliau dipecat daripada PKR pada Ogos 2014 berikutan krisis dalaman
parti itu.
Selepas disingkirkan daripada pejabat menteri besar, Khalid dilihat
sering menyertai himpunan anjuran PAS, termasuk himpunan Fastaqim 2.0
yang berlangsung di Terengganu, akhir bulan lalu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan