PUTRAJAYA: Dua hakim Mahkamah Rayuan menarik diri daripada mendengar
rayuan Ahli Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli berhubung saman fitnah
yang dikemukakan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan
pengerusi eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.
Saman itu dikemukakan terhadap Rafizi dan Malaysiakini berhubung pembelian sebuah hartanah di KL Eco City di Bangsar.
Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim yang mempengerusikan panel tiga
hakim Mahkamah Rayuan hari ini, berkata atas kepentingan keadilan,
beliau dan Hakim Mary Lim Thiam Suan tidak akan mendengar rayuan itu dan
akan menarik diri mereka.
Beliau sebelum itu memberitahu peguam, kedua-dua mereka sudah bersidang
dalam panel Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan dalam satu lagi kes
fitnah membabitkan Dr Mohamad Salleh dan Ahli Parlimen Lembah Pantai
Nurul Izzah Anwar pada 10 Julai tahun ini.
Peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Dr Mohamad
Salleh berkata kedua-dua hakim tidak seharusnya mendengar rayuan Rafizi
tetapi peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Rafizi berhujah
kedua-dua hakim berkenaan boleh mendengar rayuan itu kerana kenyataan
dalam kes Nurul Izzah berlainan sama sekali.
Kes itu kemudiannya dikemukakan bagi pengurusan kes hari ini di hadapan
pendaftar mahkamah yang menetapkan 23 Mac sebagai tarikh baharu
pendengaran rayuan di hadapan panel hakim baharu.
Seorang lagi hakim yang bersidang dalam panel hari ini ialah Tan Sri Idrus Harun.
Rafizi merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31
Oktober tahun lepas, yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi
RM200,000 kepada Dr Mohamad Salleh.
Sementara itu, Dr Mohamad Salleh turut merayu keputusan Mahkamah Tinggi
yang menolak tuntutan beliau terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd, pemilik
portal berita Malaysiakini yang dinamakan sebagai defendan kedua dalam
tuntutan saman itu.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Salleh dan NFCorp, mendakwa pada 7
Mac 2012,Rafizi membuat kenyataan berbaur fitnah dalam sidang media di
Pejabat PKR berkaitan pembelian hartanah KL Eco City dan kenyataan itu
disiarkan oleh Malaysiakini pada hari sama.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan dalam
keputusannya menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Mohd Rafizi
adalah fitnah.
Peguam K. Shanmuga mewakili Malaysiakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan