SHAH ALAM: ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman mendakwa
pendekatannya yang ‘mesra’ dengan kerajaan Selangor selain tidak setuju
dengan pendekatan tiga penjuru, menjadi antara sebab beliau digugurkan
daripada barisan kepimpinan parti peringkat negeri, sejak dua bulan
lalu.
“Tidak dinafikan, saya mesra dengan kepimpinan Kerajaan Selangor kerana Exco kita pun ada di sana (dalam pentadbiran).
“Saya cuma berpendirian di mana kerajaan Selangor yang ada hari ini
perlu dipertahankan, jika tidak kita akan serah Selangor kepada Umno
jika berlaku pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14) nanti.
“Bukankah ini mandat yang rakyat beri kepada kita pada penggal PRU 2008
dan 2013, malah Menteri Besar Selangor serta Exco-exco PAS kita, telah
pun membuktikan Selangor sebagai sebuah kerajaan yang berwibawa dan
lebih berbanding negeri-negeri yang lain,” katanya dipetik Sinar Harian.
Menurutnya, ada kemungkinan sesetengah pihak tidak senang dengan
peranan dan pendekatannya mempertahankan kerajaan yang ada selaras
dengan mandat yang diberikan rakyat dalam pilihan raya sebelum ini.
Baru-baru ini isu pengguguran Khairuddin daripada Jawatankuasa
Perhubungan PAS Selangor hangat diperkatakan meskipun ia berlaku dua
bulan lalu.
Pengguguran itu dilakukan selepas hanya kira-kira tiga atau empat bulan beliau dilantik sebagai AJK PAS Selangor.
Beliau kini tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti.
Untuk rekod, Khairuddin sebelum ini juga merupakan bekas Setiausaha PAS
Selangor, sebelum tempatnya digantikan Abdul Halim Omar dalam satu
rombakan peringkat negeri pada Mei tahun lalu.
“Perkara ini (digugurkan) dah dua bulan lepas, saya pun pelik isu ini
jadi hangat sejak dua tiga hari lalu, namun saya masih bersama PAS,"
tegasnya.
Semalam, Exco PAS Selangor, Zaidy Abdul Talib, memetik laporan sebuah
portal berita berkata, Khairuddin akan diberikan jawatan lain oleh
kepimpinan PAS negeri berkenaan.
Mengulas mengenai perkara itu, Khairuddin menyerahkan urusan berkenaan kepada pimpinan PAS negeri.
"Soal sama ada khidmat dan peranan saya masih diperlukan atau tidak,
itu terserah kepada pimpinan PAS Selangor untuk tentukan,” katanya.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengulas isu itu
baru-baru ini dilaporkan berkata, pengguguran Khairuddin adalah
pengurusan organisasi biasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan