DETIK DAILY
Oleh
PAKATAN Harapan (PH) pun masih belum muktamadkan siapa calon perdana
menteri mereka untuk merejam rejim kleptokrasi pada Pilihan Raya Umum
Ke-14 (PRU14) ini.
Jadi, saya bersama-sama rakan pun rancak berbual mengenai calon-calon perdana menteri daripada Amanah, PKR, Bersatu dan DAP.
Menerusi grup Whatsapp, pernah seorang pemimpin Pemuda Amanah
nasional berkali-kali menegaskan bahawa Dr Mahathir Mohamad seorang
sahaja yang layak, kerana negarawan itu ada ilmu dan pengalaman yang
“maha luas” serta pernah memerintah Malaysia selama 22 tahun.
Balas saya, sesiapa pun kalau jadi perdana menteri, tentulah akan ada
kuasa untuk mencorak pentadbiran, mengurus ekonomi, mewujudkan program
pembangunan dan sebagainya.
Kalau Dr Mahathir disanjungi kerana Putrajaya yang dibangunkannya,
Perdana Menteri Najib Razak pun boleh disanjung juga dengan projek MRT.
Fahamnya di sini, kalau bukan Dr Mahathir pun menjadi perdana
menteri, individu itu ada kuasa untuk membangunkan negara seperti yang
dilaksanakan oleh Dr Mahathir hatta lebih baik daripada itu.
Di Pulau Pinang, Lim Guan Eng menjadi ketua menteri selepas PRU12, Mac 2008 lalu.
Sebelum itu, beliau adalah setiausaha agung DAP dan dikenali sebagai
ahli politik pembangkang seperti rakan seperjuangan yang lain.
Pentadbiran Guan Eng dalam aspek ekonomi mencatatkan pelbagai rekod
menarik, antaranya kerajaan negeri tiap-tiap tahun sejak 2008
mencatatkan lebihan kewangan.
Rekod surplas pentadbiran Guan Eng dalam tempoh 2008 hingga 2015
berjumlah RM578 juta. Lebihan kewangan kerajaan Pulau Pinang terdahulu
di bawah Umno BN dalam tempoh 50 tahun (1957-2007) pun dicatatkan
sejumlah RM373 juta sahaja.
RM9.91 bilion pelaburan terkumpul ke Pulau Pinang dalam tempoh bulan
Januari hingga September tahun lalu (Q3 2017) di kedudukan kedua paling
tinggi di belakang Sarawak (RM10.52 bilion), lapor MIDA.
RM8.03 bilion pelaburan asing langsung (FDI) ke Pulau Pinang dalam
tempoh Q3 2017 adalah pada kedudukan paling tinggi negara, lebih tinggi
berbanding FDI ke Sarawak.
Guan Eng selalu memberitahu ada tiga faktor penting menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan menarik negara.
Pertama, Pulau Pinang ada sumber tenaga mahir yang mencukupi. Kedua,
Pulau Pinang ada kemudahan rantaian bekalan dan logistik baik. Dan
ketiga, dasar serta tadbir urus kerajaan negeri yang baik sehingga
menarik minat pelabur.
Fahamnya di sini, pelabur berunding dengan pihak berkuasa negeri
bukan sebab Lim Guan Eng adalah ahli politik pembangkang ataupun
setiausaha agung DAP.
Pelabur datang berunding kerana Guan Eng ada kuasa untuk membuat
keputusan di peringkat negeri dan mereka bersetuju untuk melabur di
Pulau Pinang antaranya atas tiga faktor yang disebut di atas.
Maka, untuk membangunkan semula Malaysia, takkan Dr Mahathir seorang sahaja layak dicalonkan sebagai perdana menteri?
Atau, ahli politik lain yang tidak pernah menjadi perdana menteri
pun, layak disebut-sebut hatta dicalonkan oleh Pakatan Harapan, asalkan
mempunyai dasar yang lebih progresif berbanding sumbangan Dr Mahathir
selama 22 tahun dulu?
Melihat rekod Guan Eng, elok dicalonkan sebagai menteri kewangan PH,
sekaligus memadamkan dakyah cyber-trooper Umno BN kononnya DAP tuntut
kerusi perdana menteri jika rejim kleptokrasi tumbang.
PKR atau Amanah pun wajar mengemukakan calon perdana menteri yang ada dasar ekonomi progresif.
Ya, dasar yang lebih progresif adalah dasar yang lebih menguntungkan rakyat terbanyak berbanding segelintir puak kroni.
Contohnya, hasrat Kerajaan Pakatan Harapan Persekutuan melalui
agensinya sendiri 100% melaksanakan sendiri Program Perumahan Mampu Sewa
Selasa (PPMSS), dengan had sewa serendah bulanan RM300 sahaja.
Program ini lebih progresif berbanding program Rumah Mampu Milik
(RMM) yang dilaksanakan oleh syarikat pemaju spekulatif swasta, dan
bukan milik 100% kerajaan pusat pun.
Untuk menikmati luas lantai RMM ini, rakyat dipaksa meminjam RM200,000 atau RM300,000 hatta RM400,000 daripada bank.
Kerana terjadinya housing bubble dan over production (lambakan
hartanah disebabkan rakyat terbanyak tidak mampu mendiami RMM) di
negara ini, BNM pula digesa melonggarkan syarat kelayakan memohon
pinjaman perumahan bank demi memastikan unit rumah pemaju swasta terjual
dalam pasaran.
PPMSS akan mengubah cara berfikir rakyat bahawa rumah dengan luas
lantai 1,000 kaki persegi sebenarnya boleh dinikmati dengan sewa
serendah RM300 sebulan, tidak perlu membeli dengan harga spekulatif yang
tinggi daripada pemaju swasta.
Ini contoh dasar progresif. Selain Dr Mahathir, individu lain pun,
kalau menjadi perdana menteri, mereka ada kuasa untuk merealisasikan
PPMSS ini.
Calon perdana menteri PH yang ada polisi progresif ini akan
memastikan kerajaan pusat melalui agensi persekutuan/negeri yang ada
melaksanakan sendiri 100% PPMSS.
Contohnya di Pulau Pinang, calon perdana menteri PH berkenaan akan
mengarahkan kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang
(PDC), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran
Seberang Perai (MPSP) untuk menubuhkan bank pembangunan 100% milik
kerajaan.
Bank-bank pembangunan itu, yang mempunyai kuasa menerbitkan kredit
tanpa kos, bolehlah membiayai semua PPMSS atau Program Perumahan Mampu
Sewa Selesa tersebut.
Ini satu contoh polisi progresif, iaitu dasar yang menguntungkan rakyat terbanyak, berbanding segelintir puak kroni.
Kroni, termasuklah ahli politik, firma hartanah, serta pemaju
spekulatif swasta yang selama ini menjana keuntungan berganda dengan
jual mahal RMM ataupun jana pinjaman lanjut bank melalui net worth tanah dan hartanah.
Calon perdana menteri PH yang ada polisi progresif ini memang ada
kuasa untuk merealisasikan PPMSS. Beliau ada kuasa dalam menentukan
dasar fiskal dan dasar kewangan negara.
Dengan kuasa majoriti di Parlimen jua, calon perdana menteri PH yang
ada polisi progresif ini ada kuasa untuk menggubal atau meminda
mana-mana akta, demi kepentingan rakyat terbanyak tadi.
Dr Mahathir yang sudah memerintah selama 22 tahun pun boleh
merealisasikan PPMSS ini, cuma beliau tidak melaksanakan 100% polisi
progresif ini waktu berkuasa dulu.
Justeru, jika PH ada polisi yang progresif, layaklah semua kita
sebagai rakyat terbanyak secara tidak berbelah bagi lagi untuk menyokong
calon perdana menteri mereka.
Rakyat terbanyak mesti terus dididik untuk memilih seorang calon
perdana menteri yang mempunyai idea serta polisi ekonomi lebih
progresif, tidak memadai pengalaman 22 tahun memerintah Malaysia.
Setuju?

Tiada ulasan:
Catat Ulasan