Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar & Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad merakamkan penghargaan kepada Datuk
Seri Anwar Ibrahim dan ahli keluarganya kerana menerima beliau sebagai
rakan seperjuangan walaupun beliau memecat mantan timbalannya yang
kemudiannya dipenjara atas kesalahan sodomi pada 1998.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga sedar bukan mudah untuk Anwar
dan keluarga untuk memaafkannya, apatah lagi untuk memimpin empat parti
komponen pembangkang.
"Saya sedar betapa rasa Anwar umpamanya, sebab masa saya memerintah,
beliau dihantar ke Penjara Sungai Buloh. Bukan mudah baginya untuk
menerima saya. Kita berjabat tangan tetapi untuk terima saya sebagai
seorang dari pimpinan parti yang melawan Umno bukanlah mudah.
"Sebab itu kita mengambil masa lama tetapi akhirnya keutamaan diberikan kepada perjuangan melawan Datuk Seri Najib Razak.
"Bukan sahaja Anwar, keluarganya tentu merasai tekanan apabila Anwar
dimasukkan dalam tahanan. Mereka menderita selama 20 tahun dan untuk
melupakan peristiwa ini bukan mudah untuk keluarga Anwar. Tetapi
akhirnya mereka dapat membelakangkan sedikit apa yang dilalui 18 tahun
dahulu dan mengutamakan masalah yang dihadapi," katanya ketika berucap
di Konvensyen PH, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, petang
tadi.
Dr Mahathir memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada 1998
dan memenjarakan Ketua Umum PKR itu atas tuduhan salahguna kuasa dan
sodomi.
Selepas Dr Mahathir bersara pada tahun 2003 dan pentadbiran kerajaan
diambil alih Tun Abdullah Ahmad Badawi, tuduhan sodomi terhadap Anwar
digugurkan dan beliau dibebaskan pada tahun 2004.
Namun Anwar dipenjarakan sekali lagi pada 2015 atas tuduhan sodomi ketika pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Anwar hari ini disahkan akan dibebaskan 8 Jun depan iaitu dua hari lebih awal, kata Jabatan Penjara.
"Saya terhutang budi dan berterima kasih dengan Anwar kerana sanggup
bekerjasama dengan pasukan-pasukan termasuk saya sendiri dalam usaha
kita hendak selamatkan negara bertuah ini," kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir sekali lagi akan dilantik sebagai perdana menteri dalam
PRU14 selepas keputusan itu dimuktamadkan dan diumumkan di dalam
Konvensyen PH, petang tadi.
Beliau akan dibantu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku timbalan perdana menteri.
Bagaimanapun tempoh khidmat Dr Mahathir hanya bersifat sementara kerana
Anwar akan dilantik sebagai perdana menteri sebaik sahaja gabungan itu
mengusahakan pembebasannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan