Ketua polis negara berkata, tidak patut wujud
sebarang spekulasi berhubung pemindahan hak milik tanah Felda kepada
sebuah syarikat swasta, ketika siasatan dijalankan.
PETALING JAYA: Polis mungkin memanggil ahli lembaga pengarah Felda dan sayap pelaburannya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) untuk membantu siasatan kes pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur kepada sebuah syarikat swasta.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dipetik New Sunday Times sebagai berkata, penyiasat mungkin perlu mengambil keterangan mereka bagi melengkapkan siasatan.
“Jika didapati mereka terbabit dalam transaksi itu, mereka akan dipanggil untuk membantu siasatan.
“Jika perlu dipanggil, kami akan panggil. Tetapi yang pasti, kami akan memanggil lembaga pengarah Synergy Promenade Sdn Bhd untuk membantu siasatan,” katanya merujuk syarikat swasta yang terbabit dalam isu pemindahan hak milik tanah Felda itu.
Beliau berkata, perkara itu tidak patut menjadi subjek spekulasi kerana salah faham mungkin timbul ketika siasatan masih berterusan.
Pada 21 Disember lalu, Berita Harian melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak yang dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi mencurigakan sejak 2015.
Akhbar itu memetik sumber sebagai berkata, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, FIC melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkan tanah itu.
Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad mengakui berlaku transaksi 4 bidang tanah itu yang dianggarkan bernilai RM270 juta, tetapi Felda tidak mendapat sesen pun kerana tiada rekod wang dimasukkan atau dibayar dalam transaksi itu.
Akhbar itu melaporkan nilai semasa tanah Felda di Jalan Semarak itu dianggarkan mencecah RM1 bilion, jauh lebih tinggi daripada harga jualan RM270 juta dalam 4 perjanjian jual beli tanah antara Felda dan Synergy Promenade.
Pada 13 Disember lalu, polis mengumumkan penubuhan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes itu dan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad disoal siasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman, pada 4 dan 5 Januari lalu.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk penipuan dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta, serta Seksyen 471 akta sama menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan