KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar
Raya Islam (MPKB-BRI) akan menganjurkan Malam Gala Pengantin Muslimah
dan Majlis Makan Malam Amal bagi mengisi dana bagi tabung kebajikan
persatuan.
Program tertutup itu hanya untuk wanita sahaja dianjurkan bersama
Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) pada
26 Januari ini.
Pengarah Pengurusan Korporat MPKB-BRI, Che Gayah Jaafar berkata,
sumbangan yang dikumpul juga akan disalurkan ke Akademi al-Quran,
rumah-rumah anak yatim dan pusat tahfiz al-Quran.
“Program ini merupakan kali ketiga dianjur setelah program pertama
diadakan pada 2015,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Bunga
Raya, MPKB-BRI, hari ini.
Program tersebut akan diadakan di Dewan Puteri Saadong, Hotel Grand Riverview (GRV).
Che Gayah juga berkata, pada malam tersebut akan diadakan pertunjukan
fesyen pakaian pengantin muslimah oleh pereka-pereka fesyen tersohor di
Kelantan.
“Di samping itu tetamu berpeluang menonton persembahan artis popular
seperti ratu rock negara Ella, penyanyi dangdut Indonesia dan pelawak
Maharaja Lawak Mega, Vicha dari Kumpulan Saywho,” ujarnya.
Program itu turut ditaja Zianzenia Scarves, Tati Cosmetic, Sulisa Beauty dan Auralens.
Turut hadir pada sidang media tersebut Pengurus Iena Bridal House, Zalina Zahari.
Che Gayah juga berkata, orang ramai yang berminat menghadiri program
itu tersebut boleh menghubunginya di talian 013-9829232 untuk tempahan
meja yang dijual pada harga RM2,000 hingga RM3,000.
“Setakat ini 80 peratus meja telah dijual,” tambahnya. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan