
NIBONG TEBAL – Pas negeri mengesahkan mereka akan meletakkan calon di kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 selepas 25 tahun ‘memberi laluan’ kepada PKR.
Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusof berkata, keputusan berkenaan dibuat kerana kawasan itu merupakan kubu kuat Pas sebelum dipinjamkan kepada PKR.
Dalam soal ini, tambah beliau, pihaknya berharap hasrat berkenaan tidak akan dipersoalkan memandangkan setiap parti politik mempunyai hak bertanding berpandukan prinsip demokrasi.
“Ketika ini, kita (Pas) tidak mempunyai ikatan dengan PKR, jadi kita bebas untuk bertanding di situ (Permatang Pauh), begitu juga sekiranya Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mahu bertanding, itu hak beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri majlis makan malam dan kutipan dana pilihan raya anjuran Pas Kawasan Nibong Tebal di sini malam tadi.
Wan Azizah sebelum ini mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 2015, sekali gus menamatkan spekulasi anaknya, Nurul Izzah Anwar akan menggantikan beliau di kerusi berkenaan yang mula dimenangi PRK pada 1999.
Pas kali terakhir Pas bertanding di Parlimen Permatang Pauh pada tahun 1995 dalam pertandingan tiga penjuru dengan calon Barisan Nasional (BN) dan DAP, namun tewas dengan majoriti 23,515 kepada Anwar yang mewakili BN ketika itu – Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan