TAIPEI: Seorang pelajar lelaki Malaysia di Universiti Da Yeh dalam
Wilayah Changhua ditemui mati pada malam Rabu di luar asrama lelaki
dengan berpakaian kostum ”Spiderman”.
Agensi berita Taiwan, Central News Agency (CNA) melaporkan, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 5 bangunan asrama itu.
Menurut polis, seorang pelajar yang melewati bangunan tersebut menemui
pelajar Malaysia berkenaan dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri
di lantai simen sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak universiti
dan polis.
Mangsa yang menggunakan nama keluarga Lee, bagaimanapun sudah meninggal dunia ketika anggota polis tiba di tempat kejadian.
Polis mengesyaki Lee berada di balkoni berswafoto ketika terjatuh lalu
mati selepas mereka menemui telefon bimbitnya di balkoni tingkat 5, dan
seorang daripada rakan sekelas mangsa yang disoal siasat turut
memaklumkan bahawa Lee sebelum itu berkata dia ingin mengambil gambar.
Menurut Ketua Unit Penyiasatan di Precinct Yuanlin, Jabatan Polis
Wilayah Changhua, Chan Ting-yu, pihaknya belum dapat menentukan punca
kematian mangsa kerana tiada saksi yang melihat kejadian itu.
Universiti Da-Yeh telah menghubungi keluarga Lee di Malaysia dan akan menguruskan perjalanan mereka ke Taiwan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan