Ketua
Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Dzulkifli
Ahmad bergambar kenangan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua-ketua Kampung Baru pada Majlis
Ikrar Bebas Rasuah di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI
KUALA LUMPUR – Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang ditandatangani
lebih 770 pegawai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)
Kampung Baru dari seluruh negara hari ini, bukan satu lakonan.
Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Dr Wee Ka Siong yang memberitahu, ia merupakan satu komitmen dan janji
bahawa pentadbiran JKKK menolak sebarang unsur rasuah.
Katanya, usaha itu selaras dengan peranan jawatankuasa berkenaan sebagai barisan pertama kerajaan yang berurusan dengan rakyat.
“Program ini (tanda tangan IBR) bukan lakonan semata-mata, tetapi
komitmen dan janji kami bahawa jentera pentadbiran JKKK Kampung Baru
akan menolak rasuah,” katanya pada sidang media berucap pada majlis
berkenaan di Wisma MCA di sini, hari ini.
Seramai 770 pegawai JKKK Kampung Baru dari seluruh negara hari ini menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR). Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
Majlis tersebut disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Pengerusi Biro Hal
Ehwal Kampung Baru dan Kerajaan Tempatan MCA, Datuk Hoh Khai Mun serta
Pengarah Bahagian Kampung Baru Jabatan Perdana Menteri, Wee Li King.
Mengulas lanjut Ka Siong berkata, ikrar itu penting dalam mewujudkan
imej bersih JKKK yang diamanahkan untuk menyelia pengurusan 633 Kampung
Baru di seluruh Semenanjung.
Dalam pada itu, Dzulkifli ketika berucap berkata, sebanyak 861 agensi
merangkumi kementerian, universiti, syarikat berkaitan kerajaan (GLC),
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan sudah menandatangani IBR.
“Kesedaran masyarakat menolak rasuah akan terus menjadi revolusi,
sekali gus menyaksikan Malaysia bebas daripada rasuah menjelang 2020.
“Bagaimanapun, ia bertitik tolak daripada semua dengan menjadikan
prinsip 3J iaitu ‘Jangan Hulur, Jangan Kawtim dan Jangan Settle’
sentiasa tersemat di hati masing-masing,” ujaranya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan