SHAH ALAM: Seorang bapa hari ini memohon maaf selepas satu video yang
menunjukkannya membawa anaknya menyeberangi jambatan uzur untuk ke
sekolah menjadi viral di laman sosial.
Abdul Jalil Sulaiman turut memohon maaf mewakili isterinya, Siti
Zaharah Otman yang memuat naik video tersebut hingga tular di laman
sosial Facebook pagi tadi.
Dalam satu video yang dimuatnaik di Facebook 'Friends of PDRM', Abdul
Jalil berkata beliau dikunjungi ADUN Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan
Ismail yang kemudian menerangkan status jambatan itu.
"YB sendiri sudah jumpa saya dan menerangkan status jambatan terbabit.
Saya dengan ini mohon maaf bagi pihak isteri saya kerana viralkan isu
jambatan gantung itu.
"Dan saya ucapkan terima kasih kepada YB dan Barisan Nasional (BN)," katanya.
Sementara itu Wan Rosdy berkata, video yang dimuat naik Siti Zaharah sebenarnya adalah kerana 'salah faham'.
"Perkara ini sebenarnya salah faham. Saya mengucapkan terima kasih
kerana kita dapat berbincang. saya nasihatkan saudara, utamakan
keselamatan.
“Sebab ada laluan alternatif tapi sebab banjir jadi jalan tersebut
tidak boleh dilalui. Kita juga ada sediakan bot JKKK sebagai pilihan
tapi takpalah ini mungkin semangat ibu nak hantar anak ke sekolah...saya
tidak tahulah apa sebenarnya...tapi perkara ini dapat diselesaikan,"
katanya.
Sebelum itu, Wan Rosdy serta Abdul Jalil mengadakan perjumpaan di sekolah anaknya, SK Batu Yon, Bukit Betong.
Malah, Wan Rosdy menegaskan peruntukan sejumlah RM462,414.40 telah
diluluskan JKR dengan arahan kerja baik pulih akan bermula pada 8 Jan
dan berakhir 18 Mac 2018.
Terdahulu pagi tadi, seorang ibu memuat naik video menunjukkan suaminya
memimpin tangan anaknya melalui sebauh jambatan gantung yang uzur.
“Anak emak bersemangat dah nak ke sekolah tapi kena harungi jambatan
yang canggih ini. Dah setahun tak ada perubahan langsung. Jambatan
gantung di Pamah Aur, Bukit Betong, Kuala Lipis,” kata kapsyen video
itu.
Video itu dirakamkan di Jambatan Gantung Pamah Aur, Bukit Betong, Kuala Lipis.
Dalam tempoh beberapa jam saja, video berkenaan ditonton lebih 800,000 kali dan dikongsi lebih daripada 24,000 kali.
Ia turut mengundang reaksi netizen. Sebahagiannya menggesa kerajaan
agar melakukan sesuatu sebelum kejadian yang tidak diingini terjadi,
malah sebahagiannya pula menasihati sang bapa agar lebih mengutamakan
keselamatan anaknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan