KINABATANGAN: Seorang warga emas maut selepas dipercayai dipukul
berulang kali oleh adik iparnya dalam kejadian di rumah pekerja Ladang
Menanggol, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi mangsa yang berusia 60 tahun
dipercayai tidur di ruang tamu rumah, sebelum adik iparnya yang berusia
41 tahun pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, selepas meraikan sambutan
tahun baru.
Suspek dipercayai mengambil kayu di luar rumah, dan memukul mangsa menggunakan kayu berulang kali di kepala dan kaki.
Difahamkan, berlaku pergaduhan antara suspek dan mangsa seminggu
sebelum kejadian, di mana suspek mengancam abang iparnya dengan parang.
Pergaduhan itu bagaimanapun dapat diselesaikan oleh pekerja lain.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata
suspek ditangkap di Pejabat Ladang Gomantong pada jam 2.35 petang,
semalam.
Katanya, polis juga sudah menemui kayu berukuran antara 30 hingga 60 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.
"Pemeriksaan awal polis menemui dua kesan luka di kepala dan lebam pada mata mangsa.
"Mangsa sudah dihantar ke Hospital Duchess of Kent, di Sandakan untuk proses bedah siasat," katanya di sini, pagi ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan