THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mempertahankan Institusi Raja adalah satu pembohongan dibuat pembangkang, kata Menteri Wilayah Abdul Khalid Samad.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Shah Alam berkata kerajaan tidak sesekali akan bertindak demikian dan menurutnya dakwaan pembangkang itu hanyalah tuduhan bagi meraih sokongan rakyat.
“Saya difahamkan pada 1 Sept lepas ada satu program politik di Perak yang mahu membela nasib Melayu dan Islam. Mereka tuduh kerajaan PH ingin jatuhkan dan hapuskan Sistem Raja Berperlembagaan serta jadikan Malaysia sebuah republik.
“Saya tegaskan ia pembohongan untuk melagakan rakyat. Pembangkang terdesak dan tiada isu, hanya gunakan isu kaum dan agama. Saya nak ingatkan rakyat khususnya orang Melayu supaya tidak tertipu dengan mainan politik seperti ini,” katanya dalam sidang media di Menara DBKL di sini hari ini.
Khalid kemudiannya merasmikan acara pelancaran dan penyerahan 5,000 pelekat ‘Daulat Tuanku’ daripada Pertubuhan Warisan Negara untuk edaran kepada orang ramai sempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada 9 Sept ini.
Pengarah Komunikasi parti Amanah itu berkata sebaliknya kerajaan Barisan Nasional sebelum ini yang sebenarnya mengabaikan kepentingan dan kedudukan Institusi Raja.
“Sebelum ini, BN yang mengetepikan surat rasmi Raja-Raja Melayu yang ingin mendapatkan penjelasan berhubung isu 1MDB dan kuasa pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong di dalam Majlis Keselamatan Negara,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Khalid mengumumkan DBKL akan memberi diskaun 70 peratus daripada jumlah kompauan tertunggak dikenakan ke atas kesalahan-kesalahan trafik DBKL berkuat kuasa 1 Sept selama sebulan.
Khalid berkata kutipan sebenar pesalah-pesalah trafik DBKL yang direkodkan sejak 2014 sehingga Ogos tahun ini mencecah RM924 juta sekiranya tidak diberikan diskaun.
Kerajaan menyasarkan pulangan kutipan keseluruhan menerusi diskaun diberikan itu berjumlah RM100 juta berbanding kutipan sebenar, katanya.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan