THE MALAYSIAN TIMES
SERI KEMBANGAN: Calon MCA Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong Tan Chee Teong mengakui terdapat pengundi yang masih keliru dengan tarikh sebenar pengundian pada Sabtu, 8 September ini.
Katanya berdasarkan beberapa siri kempen dan ‘walkabout’ yang dijalankan sepanjang 17 hari berkempen setakat hari ini, kira-kira 30 peratus pengundi masih bertanyakan beliau mengenai tarikh sebenar pengundian.
“Semasa berkempen ada yang tanya saya betul ke hari Sabtu ini mengundi? Kerana ada yang ingat hari mengundi adalah 9 September (Ahad) ini.
“Jadi saya percaya kedua-dua pihak pun (MCA dan Pakatan Harapan) sedang berusaha memberitahu pengundi tentang tarikh sebenar hari pengundian,” katanya kepada pemberita ketika melawat Pusat Media PRK N.27 DUN Balakong di sini hari ini.
Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya, terdapat seramai 62,219 orang pemilih berdaftar bagi DUN Balakong, yang terdiri daripada 62,160 orang pemilih biasa, 31 pemilih awal dan 28 orang pemilih tidak hadir luar negara.
Tan akan berhadapan calon PH Wong Siew Ki dalam PRK itu pada Sabtu ini yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Ng menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.–Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan