HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 September 2018

'Dia ahli perniagaan berjaya dan kaya' - Najib pertahan legasi JJ

MALAYSIAKINI

   
Datuk Seri Najib Abdul Razak mempertahankan legasi Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis berikutan pendedahan kekayaannya baru-baru ini, dengan mengatakan bahawa Jamaluddin sudah menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya dan kaya..

Dalam catatan Facebook malam tadi, Najib mendakwa terdapat tuduhan bahawa hubungan Allahyarham dengan beliau ialah punca kekayaan Allahyarham

Jamaluddin, yang terkorban dalam nahas helikopter pada tahun 2015, dipercayai telah menjadi orang kepercayaan Najib dan telah memegang banyak jawatan kabinet.

Isu kekayaan Jamaluddin timbul selepas ibunya yang berusia 83 tahun baru-baru ini memfailkan permohonan untuk sijil faraid untuk bahagian harta anaknya, dianggarkan bernilai RM2.1 bilion, di Mahkamah Syariah.

Ia menarik perhatian beberapa pihak yang mempersoalkan bagaimana seorang menteri dapat mengumpulkan kekayaan seumpama itu.

"Agak sedih pelbagai tuduhan dilempar kepada Allahyarham yang tidak dapat menjawab segala tohmahan serkap jarang tanpa usul periksa.

"Sebenarnya, apabila saya menjadi perdana menteri, Allahyarham Jamaludin sudah dikenali sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya dan kaya.

"Walaupun Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis ada hubungan yang baik dengan saya, beliau tidak pernah meminta apa-apa projek dari saya," kata Najib.

Najib mendakwa bahawa kekayaan rakannya pada mulanya berasal dari EPE Power, sebuah syarikat yang Jamaluddin - yang memiliki PhD dalam kejuruteraan elektrik - beli pada tahun 1986 dan kemudiannya disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Ini membolehkan Jamaluddin melabur dalam projek lain yang menghasilkan pendapatan kepdanya, katanya.

Najib: Projek diberi semasa pentadbiran Dr M

Najib kemudian menambah bahawa Jamaluddin juga dianugerahkan beberapa projek kerajaan dan penswastaan ​​semasa tempoh pentadbiran perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pada tahun 1990-an di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir, EPE Power dianugerahkan projek penjana elektrik bebas (IPP) di Sabah," kata Najib.

Najib juga berkata pada masa dia menjadi perdana menteri, anak-anak Allahyarham telah mengambil alih perniagaan apabila beliau bertugas sebagai duta di Amerika Syarikat dan meneruskan usaha pelaburan.

Ini termasuk menyelamatkan sebuah syarikat penjana elektrik bebas di Kulim yang diberi lesen pada tahun 1997 dan Allahyarham mempunyai pegangan saham dalam syarikat NADI yang diswastakan pada tahun 1990-an dan kemudian melabur dalam Malindo Air.

"Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis merupakan seorang yang berpelajaran tinggi dan peniaga anak Melayu yang berjaya. Dia telah meninggal di bawah keadaan yang begitu tragis dan kita tidak patut bersangka buruk kepada beliau dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas," kata Najib.

Selain daripada portfolio kewangan, Jamaluddin pernah memegang jawatan menteri sains, teknologi dan inovasi; dan menteri perdagangan dalam negeri dan kepenggunaan.

Dalam kemalangan pada tahun 2015, Jamaluddin terbunuh bersama beberapa orang lain, termasuk setiausaha sulit Najib, Azlin Alias, ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Najib di Pahang.

Laporan mengenai penyiasatan ke atas kemalangan helikopter itu berkata ia adalah akibat kecuaian juruterbang.

Permohonan oleh ibu Allahyarham dianggap sebagai salah satu tuntutan faraid terbesar dalam sejarah undang-undang syariah Malaysia.

Tiada ulasan: