WAWANCARA l Banyak pihak tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mewujudkan projek kereta nasional baru, termasuk anggota kabinetnya sendiri.
Seperti selalu, beliau meluahkan kekecewaannya berhubung perkara itu secara sarkastik.
Kekecewaan sama terlihat sekali lagi dalam wawancara bersama Malaysiakini ketika ditanya tentang perkara itu.
"Jika anda mahu jadi negara petani, menanam padi dan menangkap ikan, okey, kita akan buat.
"Tak perlu ada industri sebab industri adakalanya merugikan. Marilah kita jadi penanam padi dan nelayan. Itu saja yang kita mampu jadi.
"Jika anda suka, dan jika itulah yang anda undi, baik, kita akan teruskan," katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, semalam.
Bagi kebanyakan orang, cadangan itu membangkitkan pengalaman pahit bagaimana mereka terpaksa 'bail out' Proton - kereta nasional pertama - dan juga persepsi mutunya yang tidak mencapai tahap yang sepatutnya.
Bagaimanapun bagi Mahathir, projek kereta nasional termasuk Proton bukan sekadar untuk menjadi pengeluar kereta.
"Pengguna hanya berfikir untuk membeli kereta untuk diri sendiri, dengan harga lebih rendah.
"Kerajaan perlu berfikir untuk negara, apa yang baik untuk negara tak semestinya baik untuk pengguna individu, tetapi apabila sampai masanya ia akan berjaya," katanya lagi.
Mahathir berkata matlamatnya dari dulu hingga kini adalah untuk meningkatkan kapasiti kejuruteraan negara dan menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar, bukannya pengguna.
"Malaysia adalah negara pengguna, kita tak tahu keluarkan apa-apa. Saya ke China, di sana, ia bukannya tentang penggunaan.
"Ia tentang mengeluarkan produk yang mereka boleh guna sendiri, tetapi ini tidak berlaku di Malaysia," katanya yang baru pulang dari lawatan rasmi lima hari di China.
Mengapa obses dengan kereta?
Di Amerika Syarikat, cip Intel dijual di seluruh dunia, manakala Korea Selatan berbangga dengan Samsung, justeru beliau berharap Malaysia juga ada barangan sendiri untuk dijual di seluruh dunia.
Menurut Forbes, Samsung menyumbang satu perlima daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Korea Selatan. Kami bertanya kepada Mahathir - kenapa terlalu obses dengan kereta?
"Ada perlukan 4,000 komponen untuk membuat sebuah kereta. Jika saya beri 4,000 komponen itu dan meminta anda buat sebuah kereta, anda tak mampu lakukannya. Anda perlu belajar kejuruteraan - bagaimana untuk keluarkan kereta, bagaimana nak pasang bahagian itu.
"Apabila anda boleh keluarkan komponen, anda boleh buat komponen untuk mesin lain, untuk kereta dari negara lain.
"Anda belajar kejuruteraan praktikal dengan membina sebuah kereta," katanya lagi.
Beliau akui ada alternatif lain - seperti membina kereta api - namun tetap yakin kereta adalah pilihan yang lebih baik.
"Kenapa kereta? Kerana kereta merupakan pasaran terbesar di dunia walaupun ia memakan kos tinggi. Orang menghabiskan wang untuk kereta. Di China, (mereka) keluarkan 37 juta kereta setahun."
Ketika ditanya apakah jaminan kereta nasional baru tidak akan ditimpa nasib yang sama seperti Proton, beliau menyalahkan kemerosotan kereta nasional pertama itu kepada penggantinya kerana membuka pasaran kepada pengeluar kereta lain.
"Saya kekal berpandangan apabila industri itu masih di peringkat awal, anda perlu melindunginya.
Jepun dan Korea Selatan melakukannya, China sedang melakukannya. Malah di Jerman dan Eropah, mereka memberi perlindungan secara tak langsung - bukan melalui cukai tetapi penghalang bukan tarif (non-tariff barrier, seperti lesen dan kuota).
"Di Jepun, anda tidak lihat kereta lain selain kereta Jepun. Di Korea, anda lihat kereta Korea. Di China, semua kereta dibuat di China," katanya lagi.
Tiada siapa bangga
Mahathir berkata dasar perlindungan perlu dikurangkan hanya selepas sesuatu industri itu mencapai tahap kemajuan, jumlah dan kualiti yang mencukupi.
"Kereta Proton pertama yang dikeluarkan pada 1985 tidak sama seperti Proton sekarang.
"Bagi sebuah negara membangun yang kecil, kita telah membuat penambahbaikan yang hebat. Tetapi tiada siapa yang hargainya. Pergilah ke mana-mana negara membangun, mereka tiada kereta nasional. Kita ada.
"Tetapi kita tidak bangga dengan keluaran kita. Kita mahu beli yang luar. Jika anda jadi masyarakat pengguna, anda tidak akan jadi kaya. Semua wang anda mengalir keluar," katanya.
Mahathir berkata, aspirasinya adlaah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara pembuatan dan kejuruteraan. Ia mungkin tidak memberikan kereta yang murah atau yang terbaik buat masa sekarang, tetapi "kejayaannya akan sampai juga kepada pengguna," katanya.
"Tetapi tentulah pengguna tidak cukup sabar untuk menunggu. Mereka mahukannya sekarang.
"Mengapa kita perlu keluarkan sebarang produk jika kita boleh beli dengan harga murah, tetapi bagaimana untuk beli jika tiada pekerjaan di negara ini?"
Kalau pun Mahathir akhirnya berjaya mendapat sokongan Malaysia untuk projek itu, beliau menjangka ia akan mengambil masa.
"Malaysia sangat perlahan. China dalam masa 30 hingga 40 tahun telah mencapai jauh lebih banyak berbanding apa yang kita capai. Saya fikir (Malaysia perlukan) seratus tahun, kerana kita sangat perlahan," katanya lagi.
Artikel sebelumnya
Projek China: Kalau boleh batal, jika tak dapat kita tangguh
Dr Mahathir mahu 'Tembok Besar China Kuantan' diroboh
PM 'perah otak' fikir cara bayar hutang pembayar cukai
LIHATVIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan