PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Usahawan mengingatkan usahawan supaya tidak terlibat dalam mana-mana aktiviti rasuah sepanjang menjalankan perniagaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Hatta Mohd Ramli berkata, setiap usahawan perlu menjalankan perniagaan dengan ikhlas dan amanah supaya tidak menjejaskan perniagaan mereka.Menurutnya, ruang berniaga hari ini cukup jelas dan pelbagai peluang boleh diperoleh tidak kira masa.
"Saya lihat usahawan muda seawal umur 20 an sudah terlibat dengan perniagaan adalah satu perubahan dan anjakan baharu di mana mereka bermula secara kecil-kecilan dengan menggunakan teknik-teknik yang ada.
"Sebab itu penyertaan usahawan dalam seminar boleh mendidik menjadi usahawan yang berdisiplin bukan sahaja dengan mendapatkan pengetahuan daripada Internet, tetapi perlu mendapatkan pengetahuan melalui sesi seperti ini," katanya kepada Sinar Harian dalam Majlis SifuFbAds Grand Star All Event di Bora Ombak Marina Putrajaya.
Hatta berkata, beliau berharap usahawan yang hadir dalam program SifuFbAds menjadi salah seorang usahawan yang tergolong dalam satu juta usahawan yang disasarkan oleh kementerian untuk tempoh lima tahun yang berjaya dan kerjasama mereka yang berkongsi kejayaan kepada peserta dianggap sebagai usaha membantu merealisasikan impian usahawan baru.
Mengulas mengenai sesi kongres ekonomi bumiputera yang dihadirinya, Hatta berkata, sebagai kerajaan baru pihaknya hendak mencari di mana titik permulaan bagi meningkatkan ekonomi rakyat terutama golongan bumiputera.
Katanya, kerajaan melihat selepas 61 tahun masih belum mencapai objektif satu kedudukan ekonomi yang munasabah dalam kalangan Bumiputera, jadi perbincangan itu adalah mencari apa kelemahannya dan tindakan yang perlu dilakukan untuk tempoh datang.
"Kongres itu juga membawa balik bagaimana hendak meletakkan semula agenda bumiputera supaya dapat menghasilkan Bumiputera yang menepati hasrat awal misalnya dari segi pemilikan ekuiti 30 peratus dan terlibat daripada pelbagai industri.
"Ini yang kita bincang untuk mempermudahkan tanpa bermanja-manja biar mereka terlibat dalam ekonomi dengan idea. Kementerian pula bersedia mencari jalan bagaimana bumiputera boleh terlibat sama dalam keusahawanan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan